![Image from: “Pemilik Kucing Lari Tak Bayar Sewa” – Si Bulus Terkurung 10 Hari Dalam Rumah Tanpa Makanan Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/kucing-ditinggalkan-tanpa-makanan-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kucing ibarat keluarga sendiri. Mesti ramai pemilik kucing di luar sana yang bersetuju dengan kenyataan kami ini. Jangan cakap nak tinggalkan untuk balik ke kampung, nak keluar pergi barang sekejap pun tak sampai hati nak tinggal si bulus bersendirian.
Pun begitu, bukan semua pemilik ada sifat berperikemanusiaan. Ada segelintir yang sanggup meninggalkan haiwan peliharaan mereka tanpa makan dan minum.
Lelaki Dakwa Pemilik Tinggalkan Kucing Dalam Rumah 10 Hari Tanpa Makanan
Seperti baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Threads (hotelkucingrm10) apabila seorang lelaki dikenali sebagai Azizul berkongsi kisah seekor kucing betina bernama Lulu yang diselamatkan selepas ditinggalkan selama 10 hari bersendirian di dalam rumah tanpa makanan.
Dakwanya, pemilik kucing tersebut yang juga penyewa rumah telah melarikan diri kerana tidak membayar sewa.
Namun perkara yang membuatkan situasi ini sedih adalah tuan rumah berkenaan tidak membawa si bulusnya sekali, sebaliknya didakwa membiarkan ia terperangkap tanpa makanan.
Menerusi video perkongsian, kelihatan sebungkus tepung berselerak di atas lantai dapur. Berkemungkinan diselongkar si bulus berkenaan untuk mencari makanan sepanjang ia terperangkap dan terkurung di dalam rumah.
![Image from: “Pemilik Kucing Lari Tak Bayar Sewa” – Si Bulus Terkurung 10 Hari Dalam Rumah Tanpa Makanan Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/FI-split-white-1.jpg)
Lulu Kelihatan Trauma & Tak Mahu Dekati Kucing Lain
Azizul ketika dihubungi BuzzKini berkata, Lulu telah dibawa ke klinik haiwan untuk pemeriksaan. Mungkin disebabkan ditinggalkan dalam tempoh yang lama, Azizul berkata Lulu kini sedikit trauma.
“Dia (Lulu) hissing dekat orang dan kucing lain. Sebab dia sendirian. Dia dibela pun sebagai kucing tunggal. Jadi tak biasa dengan orang lain. Ada sesetengah netizen persoal kenapa saya letak syarat macam-macam (untuk adoption). Tapi dari pengalaman saya, Lulu perlukan masa untuk tenangkan diri daripada trauma dia,” katanya.
Sebelum ini, Azizul dalam satu lagi hantaran ada membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menumpangkan kasih sayang kepada Lulu sebagai penjaga baharunya secara percuma (adoption).
Alhamdulillah, ramai yang berminat dan menghubungi. Jelas lelaki itu, Lulu akan bertemu dengan pemilik baharunya pada malam ini (15 Mei).
View on Threads
Beberapa Ekor Kucing Dikurung Dalam Sangkar, Ada Kucing Didakwa Mati
Sementara itu, Azizul juga ada berkongsi nasib beberapa ekor kucing lain yang dikurung di sangkar di dalam rumah terbiar terletak di bandar Sungai Long, Hulu Langat, Selangor.
Ada juga kucing yang didakwa mati di dalam sangkar berkenaan.
“Selain Lulu, saya ada selamatkan lima ekor kucing dari sebuah kondominium di Sungai Long. Waktu diselamatkan, ada seekor kucing telah mati. Lebih menyedihkan, dua daripada lima yang dibawa tidak selamat.
“Seekor dah ada orang adopt, tinggal lagi dua ekor,” katanya.
Menurut Azizul, pihaknya kini sedang mengumpul dana melalui Facebook Dunia Kucing Malaysia bagi membiayai rawatan kucing yang terselamat.
View on Threads
Ramai Netizen Sebak Lihat Kucing Seperti Tercari-cari Makanan
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata orang ramai berasa sebak melihat nasib Lulu yang berlapar selama 10 hari dan tanpa penjagaan sesiapa.
“Ya Allah kalau nak lari pun, bagilah kucing tu dekat sesiapa. Dengan tak makan tak minum. Ish aku lahai. Kucing yang ada dekat rumah ni pun kalau tak melantak sehari aku yang gila tau,” kata seorang lelaki.
“Owner memang tak bertanggungjawab. Kesian kucing tu dah mula cari makan sendiri. Tepung, nescafe atas lantai. Mesti dia takut, lapar dan rasa pelik,” tambah seorang wanita.
Dalam masa sama, ramai juga mengecam tindakan pemilik rumah yang dikatakan kejam terhadap kucing sendiri.
“Si*l punya tuan. Buang macam tu tak ada hati perut. Aku ni tinggal anak bulus sehari pun risau makanan letak tak cukup. Kita manusia pun kadang makan lebih tiga kali dengan cuaca panas ni,” kata seorang pengguna Threads.
Berikut antara komen-komen netizen:
![Image from: “Pemilik Kucing Lari Tak Bayar Sewa” – Si Bulus Terkurung 10 Hari Dalam Rumah Tanpa Makanan Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/kucing-ditinggalkan-10-hari--964x1024.jpeg)
![Image from: “Pemilik Kucing Lari Tak Bayar Sewa” – Si Bulus Terkurung 10 Hari Dalam Rumah Tanpa Makanan Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/kucing-ditinggalkan-10-hari-2-741x1024.jpeg)
![Image from: “Pemilik Kucing Lari Tak Bayar Sewa” – Si Bulus Terkurung 10 Hari Dalam Rumah Tanpa Makanan Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/kucing-ditinggalkan-10-hari-3-843x1024.jpeg)
![Image from: “Pemilik Kucing Lari Tak Bayar Sewa” – Si Bulus Terkurung 10 Hari Dalam Rumah Tanpa Makanan Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/kucing-ditinggalkan-10-hari-4-890x1024.jpeg)
![Image from: “Pemilik Kucing Lari Tak Bayar Sewa” – Si Bulus Terkurung 10 Hari Dalam Rumah Tanpa Makanan Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/kucing-ditinggalkan-10-hari-5-831x1024.jpeg)
![Image from: “Pemilik Kucing Lari Tak Bayar Sewa” – Si Bulus Terkurung 10 Hari Dalam Rumah Tanpa Makanan Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/kucing-ditinggalkan-10-hari-6-728x1024.jpeg)
