
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Inilah yang berlaku kepada pengasas bersama laman web gelap Empire Market, Raheim Hamilton yang dijatuhi hukuman 40 tahun penjara oleh mahkamah Amerika Syarikat kerana mengendalikan platform yang memudahkan transaksi haram bernilai kira-kira $430 juta antara 2018 hingga 2020.

Hamilton yang menggunakan nama samaran “Sydney” dan “ZeroAngel”, mengendalikan Empire Market yang merupakan antara pasaran web gelap terbesar sebelum ditutup pada tahun 2020. Ia menjadi platform jualan mata wang palsu, maklumat peribadi, alat untuk menggodam, akaun yang dicuri dan juga dadah. Penjualan dadah sahaja menyumbang $375 juta nilai transaksi,
Hamilton mengaku platform direka untuk membantu pengguna mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa, menggunakan perkhidmatan mencuci kripto dan wang. Beliau dan seorang lagi pemilik laman, Thomas Pavey (“Dopenugget”) mengaku bersalah kepada pihak berkuasa. Hamilton turut menyerahkan 3 hartanah di Virginia, kira-kira 1,230 Bitcoin dan 24.4 Ether. Pihak berkuasa telahpun merampas $75 juta dalam bentuk wang kripto.
