
PUTRAJAYA – Seorang pemilik dan seorang pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan melibatkan kes penyelewengan dana Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya) pada Ahad.
Menurut sumber, kedua individu berkenaan ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kedua individu lelaki terbabit berumur 30-an dan 40-an ditahan ketika kedua suspek hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan keterangan berhubung kes tersebut," katanya.
Katanya, kedua suspek dipercayai membuat tuntutan PenjanaKerjaya palsu dan tidak menjalankan sebarang latihan pekerja baharu seperti yang didakwa.
“Terbaharu kita dapati, mereka (suspek) adalah pihak yang mendakwa telah melaksanakan latihan kepada pekerja baharu namun sebenarnya latihan tersebut tidak ada.
“Hasil siasatan, tiada sesi latihan pekerja baharu seperti yang didakwa malah nama-nama peserta latihan itu dipercayai diperoleh daripada syarikat-syarikat pencari kerja,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada 14 Julai lalu, sebanyak 24 kertas siasatan telah dibuka oleh SPRM berhubung tuntutan palsu insentif Program Penjana Kerjaya membabitkan penipuan sebanyak RM100 juta.
Setakat ini, seramai 42 individu ditahan menerusi Ops Hire yang dijalankan.
