
SUNGAI PETANI: Seramai 270 pemilik premis di kawasan perniagaan Taman Sejati Indah di sini dikenakan notis pematuhan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Malaysia (SPAN) selepas didapati gagal mengosongkan tangki septik mengikut jadual ditetapkan.
Lebih membimbangkan, terdapat segelintir premis yang didapati tidak pernah menjalankan kerja penyelenggaraan tangki septik sejak lebih 10 tahun lalu, malah ada yang kali terakhir direkodkan menyelenggara sistem pembentungan pada 1997 dan 1999.
Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata, penemuan itu hasil Op Padi 2 yang dijalankan dari 4 Ogos lalu melibatkan pemeriksaan ke atas 341 premis, terdiri daripada 242 premis komersial dan 99 premis domestik.
Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik yang dikeluarkan oleh Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).
“Susulan itu, SPAN mengeluarkan notis pematuhan supaya pemilik premis segera melaksanakan kerja pengosongan tangki septik,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi berkenaan di sini, semalam.
Menurut beliau, kebanyakan premis yang diperiksa dibina sekitar 1970-an dan 1980-an, namun faktor usia bangunan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan penyelenggaraan sistem pembetungan.
Katanya, notis pematuhan itu dikeluarkan mengikut Seksyen 65(1)(c), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) kerana pemilik premis gagal mematuhi kewajipan penyelenggaraan tangki septik secara berkala.
“Pemilik premis diberikan tempoh 14 hari untuk melantik pemegang lesen atau permit yang sah bagi menjalankan kerja nyah enap cemar di tangki septik masing-masing.
“Sekiranya mereka masih gagal mematuhi arahan, SPAN akan mengambil tindakan lanjut termasuk mengeluarkan notis kesalahan serta membuka kertas siasatan,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 mengikut peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. – UTUSAN
The post Pemilik premis abai selenggara tangki septik lebih 10 tahun appeared first on Utusan Malaysia.


