
Kota Kinabalu: Seorang pemilik restoran berusia 38 tahun yang didakwa membunuh seorang lelaki di Beaufort dua tahun lalu, akan dibicarakan pada Mac tahun depan.
Pesuruhjaya Kehakiman Amelati Parnell pada Isnin menetapkan 6 hingga 9 Mac tahun depan untuk perbicaraan Hobalan N. Vello.
Hobalan didakwa melakukan jenayah itu terhadap Albert @ Recquel A Agang, 53, antara jam 11.30 malam 18 Dis 2020 dan jam 12.05 pagi 19 Dis 2020 di luar restoran My Heaven Seafood di Beaufort.
Tertuduh pada 22 Okt 2021 meminta dibicarakan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Peguam Hobalan memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan baru sahaja menerima laporan bedah siasat lengkap pada Isnin dan mereka akan menulis surat representasi kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Mahkamah menetapkan 15 Ogos ini bagi sebutan untuk kemas kini mengenai representasi itu.
Hobalan pada 22 Okt tahun lepas dibenarkan ikat jamin RM200,000 dengan deposit RM50,000 dan dua penjamin susulan permohonan ikat jaminnya.
Dia diwakili oleh peguam Ram Singh, Kimberly Ye dan Chen Wen Jye.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

