KEMAMAN - Pemilik inovasi 'rumahku rakitku' yang tular kerana kebolehannya terapung ketika musim banjir, A Bakar Che Ahmad dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Tebak di sini pada Rabu.
A Bakar, 71, atau lebih mesra disapa Pokwe, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.45 tengah hari di sisi ahli keluarganya.
Anak sulung Allahyarham, Kamaruddin, 43, berkata, bapanya sebelum ini disahkan menghidap kanser hempedu dan pernah menerima rawatan di Hospital Kemaman serta Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
"Ayah baru sahaja dibenarkan pulang dari HSNZ tiga hari lepas. Sebelum itu, dia dirawat selama 12 hari di sana dan dekat seminggu di Hospital Kemaman.
"Kesihatan arwah makin merosot selepas pulang ke rumah. Walaupun pagi tadi nampak okay, tapi mula tak menunjukkan tindak balas menjelang tengah hari sebelum meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebak, petang Rabu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 6.20 petang dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga serta kenalan yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Nama Allahyarham mula menjadi bualan ramai pada penghujung tahun 2022 selepas berjaya membina sebuah rumah terapung seluas 70 kaki persegi bagi melindungi harta benda dan keluarganya daripada bencana banjir.
Inovasi unik itu menggunakan 102 buah tong plastik, yang mana idea berkenaan tercetus selepas beliau berjaya membina reban ayam terapung pada tahun 2019.
Bekas pemandu lori itu sebelum ini mengakui membina rumah rakit berkenaan kerana kediamannya terletak di kawasan rendah yang sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh tiba.




