PUTRAJAYA - Seorang pemilik syarikat disyaki terlibat dalam sindiket isytihar palsu barang import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang ditahan pada Selasa.
Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 5 petang dalam satu operasi yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lembah Klang.
Operasi bersepadu Op Celio itu melibatkan Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), JKDM dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Suspek kini direman lima hari sehingga 26 April selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2020 dengan menjadi ‘runner’ bagi individu, syarikat dan juga ejen penghantaran yang menguruskan kemasukan barang-barang import di Pelabuhan Klang.
“Suspek yang juga dipercayai salah seorang ahli sindiket terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan kontraban daripada pelbagai negara pengeksport dengan menggunakan modus operandi Trade Based Money Laundering,” katanya.
Tambah sumber, penggeledahan telah dijalankan di 14 lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang.
Bagaimanapun, operasi tersebut menyasarkan 28 entiti yang terdiri daripada syarikat dan individu melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak Kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import.
"Siasatan yang dilakukan BOK ini turut mempercayai sindiket itu memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram tersebut selain terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit selain menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun," katanya.
Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat yang berjumlah kira-kira RM160 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan operasi tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Tambah beliau, Op Celio akan diteruskan dengan menyasarkan lagi 14 premis melibatkan kediaman serta syarikat dan juga ejen penghantaran sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.





