Pemilik Syarikat Ini Dedah Donald Trump Pilih Batu Marmar Dari Sabah Untuk Hias Trump Tower

27 Jan 2025 • 5:24 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Marmar Rosso Segama yang Memikat Trump

Pemilik Syarikat Ini Dedah Donald Trump Pilih Batu Marmar Dari Sabah Untuk Hias Trump Tower. Siapa sangka batu marmar dari Lahad Datu, Sabah, kini menghiasi ruang-ruang mewah di beberapa lokasi paling ikonik dunia, termasuk Trump Tower di New York City! Di sebalik kejayaan ini, berdiri Datuk Joseph Ambrose Lee, seorang peguam-usahawan dari Sabah yang membawa marmar dari Borneo ke puncak dunia.

Pada pertengahan 1990-an, Datuk Ambrose berjaya menjual marmar unik berwarna merah-coklat, dikenali sebagai Rosso Segama, untuk menghiasi lobi Trump Tower. Walaupun beliau tidak berurusan terus dengan Donald Trump, permintaan khas itu datang daripada agen Trump yang menyatakan bahawa hanya warna dan kualiti tertentu yang diterima.

image is not available
Sumber gambar: Eater NY

Dari Hotel Mewah Hingga Projek Ikonik

“Trump seorang yang sukar dipuaskan. Tetapi kami berjaya. Marmar itu dihantar dalam beberapa kontena terus dari Lahad Datu,” kata Ambrose dengan bangga.

Mengapa Trump memilih warna merah-coklat? Menurut Ambrose, merah melambangkan keberanian, kemewahan, kestabilan, dan kekuasaan – sesuai dengan personaliti Trump.

Namun, Trump Tower bukan satu-satunya tempat marmar Borneo menjadi perhatian. Sebelum itu, marmar Sabah sudah menghiasi hotel-hotel mewah seperti Ritz-Carlton di Central Park, Boston, Washington D.C., Miami, serta Four Seasons di San Francisco. Kebanyakan hotel ini lebih memilih warna beige atau krim untuk menonjolkan tema klasik pada era 1980-an dan 1990-an.

“Kami bangga melihat marmar Sabah di hotel-hotel terkenal dunia,” kata Ambrose. “Beige dan krim adalah pilihan kegemaran hotel-hotel mewah pada masa itu.”

image is not available
Sumber gambar: Daily Express

Bangga Dengan Asal Usul Lahad Datu

Dipetik dari Daily Express, Datuk Ambrose juga tidak segan untuk berkongsi tentang asal usul marmar istimewa ini. “Marmar dari Lahad Datu, terutama Rosso Segama, adalah antara yang terbaik di dunia. Warnanya tiada tandingan,” katanya. Bahkan, beliau mampu mengenali marmer Borneo apabila ternampak di hotel, bangunan, atau rumah mewah di mana-mana negara.

Cabaran dan Kejayaan di Pasaran Global

Walaupun marmar Sabah mendapat tempat di pasaran Amerika Syarikat, krisis kewangan dan kelembapan pasaran hartanah mengurangkan permintaan pada awal tahun 2000-an. Tetapi peluang di China mula muncul selepas 2010, menjadikan negara itu pasaran utama bagi Borneo Marble Corporation.

Kini, marmar Sabah digunakan di bangunan terkenal seperti Wuhan International Trade Centre dan dewan besar di China. Walaupun produk akhirnya sering dijual di bawah nama Sepanyol atau Itali, Datuk Ambrose tetap berbangga kerana asalnya adalah dari Lahad Datu.

Jejak Marmar Sabah di Malaysia

Di Malaysia, marmer ini digunakan dalam banyak projek besar seperti pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hotel-hotel mewah, dan KLCC. Bahkan, beberapa bangunan di Sabah seperti restoran Sugarbun dan Mahkamah Tinggi Sandakan turut menggunakan marmer Rosso.

Pelajaran Dari Seorang Usahawan Sabah

Datuk Ambrose menutup cerita ini dengan refleksi yang mendalam. “Saya mulakan dengan hanya dua kuari kecil di Ipoh. Tetapi keputusan untuk fokus pada Lahad Datu membuka peluang besar, termasuk mendapatkan perhatian Trump. Pilihan ini mungkin sukar, tetapi ia adalah keputusan terbaik untuk kami semua.”

Baca juga