
TAMBUNAN: Penyerahan watikah pelantikan kepada seramai 119 orang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan satu pengiktirafan serta kepercayaan yang amat besar untuk berkhidmat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Datuk Victor P Paut meletakkan harapan yang tinggi agar kesemua penerima watikah tersebut dapat menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional, adil dan berintegriti tanpa dipengaruhi oleh sebarang doktrin mahupun keutamaan politik.
“Pilihan raya dan persaingan politik mempunyai ruang serta perjalanannya yang tersendiri namun apabila watikah pelantikan telah diserahkan, ruang berpolitik secara partisan mestilah dihentikan serta-merta.
“Mesej utama buat semua 119 pimpinan tempatan yang baharu menerima watikah ini adalah amat tegas iaitu masa untuk berpolitik sudah pun berlalu dan kini masanya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada amanah dipertanggungjawabkan demi kesejahteraan seluruh warga kampung.
Sebagai penggerak utama di peringkat tempatan, JKKK tidak boleh lagi membawa agenda parti tertentu sebaliknya keutamaan pimpinan adalah memikirkan kebajikan penduduk, pembangunan infrastruktur dan keselamatan kawasan persekitaran.
“Segala tenaga, usaha serta buah fikiran sepatutnya disalurkan untuk menyelesaikan masalah harian penduduk bukannya mewujudkan jurang perpecahan atau ketegangan sesama warga setempat,” katanya.
Salah satu peringatan penting yang turut ditekankan Victor ialah keperluan untuk setiap ahli JKKK yang menerima watikah tersebut agar bersikap atas pagar dan berkecuali semasa menjalankan tugas seharian.
Jelasnya penduduk di bawah jagaan JKKK terdiri daripada pelbagai latar belakang, fahaman politik dan pandangan yang berbeza maka pentadbiran di peringkat kampung mestilah dilaksanakan secara adil berasaskan prinsip kesaksamaan yang menyeluruh.
Menurutnya penyampaian bantuan kerajaan atau kemudahan kebajikan mesti diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak tanpa mengira latar belakang politik manakala setiap permohonan, pencerahan atau sokongan dokumen hendaklah dilayan secara saksama dan mesra.
Tambahnya apabila berlaku sebarang perselisihan dalam kalangan penduduk, JKKK hendaklah bertindak sebagai pengantara yang neutral demi membina semula kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinan akar umbi.
Di samping itu tugas kesemua ahli JKKK juga amat penting sebagai pendorong utama perpaduan masyarakat kerana amalan berpolitik yang melampau sering kali memecahbelahkan hubungan kemasyarakatan, merenggangkan silaturahim sesama jiran dan merosakkan ikatan tradisi bergotong-royong.


