
BUENOS AIRES: Presiden Argentina, Colombia, Bolivia dan Mexico menandatangani satu kenyataan bersama pada Selasa yang menggesa Presiden Peru yang digulingkan Pedro Castillo (gambar) diberikan perlindungan, di tengah-tengah situasi politik yang tidak menentu di Peru.
“Kerajaan Argentina, Colombia, Mexico dan Bolivia menyatakan kebimbangan mereka terhadap peristiwa baru-baru ini yang menyebabkan penyingkiran dan penahanan Presiden Peru, Jose Pedro Castillo Terrones,“ lapor Agensi Anadolu.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden Argentina Alberto Fernandez, Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador, Presiden Colombia Gustavo Petro dan Presiden Bolivia Luis Arce.
“Castillo menjadi mangsa gangguan tidak demokratik dan menyeru semua pihak yang terlibat untuk mengutamakan kehendak rakyat yang diputuskan menerusi pilihan raya,“ menurut kenyataan itu.
Terdahulu, dalam satu sidang media Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador mengumumkan beliau masih mengiktiraf Castillo sebagai presiden Peru dan keputusan di sebalik penyingkirannya disebabkan “kepincangan antidemokrasi.”
Lopez Obrador menegaskan bahawa beliau tidak akan mengiktiraf Dina Boluarte sebagai pemimpin yang sah. Kongres Peru memilih Dina Boluarte sebagai presiden baharu bagi menggantikan Castillo.
Castillo disingkiran pada 7 Dis oleh Kongres berikutan percubaannya untuk membubarkan parlimen beberapa jam sebelum prosiding pemecatan beliau bermula.
Prosiding pemecatan itu adalah yang ketiga sejak Castillo memegang jawatan pada Julai 2021 -- berikutan dakwaan rasuah dan “ketakupayaan moral. ”
Castillo kemudian ditahan atas tuduhan pemberontakan dan konspirasi.
Sekurang-kurangnya tujuh penunjuk perasaan maut sejak tercetusnya krisis politik di negara Amerika Selatan itu.-Bernama
