Pemimpin EU Pertahan Malaysia Susulan Kes Pembatalan Norway

3 Jul 2026 • 12:29 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Pemimpin EU Pertahan Malaysia Susulan Kes Pembatalan Norway

Malaysia menerima sokongan daripada beberapa pemimpin Kesatuan Eropah (EU) susulan tindakan Norway membatalkan perjanjian pembelian peluru berpandu serangan tentera laut (NSM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau segera mengutus surat kepada beberapa pemimpin Eropah bagi menjelaskan pendirian Malaysia selepas Norway membatalkan perjanjian tersebut.

Menurut beliau, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menghantar nota peribadi yang menegaskan tindakan Norway tidak mewakili pendirian Kesatuan Eropah. Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, serta beberapa pemimpin dari Jerman turut menyatakan sokongan kepada Malaysia.

Anwar berkata tindakan Norway tidak seharusnya menjejaskan hubungan Malaysia dengan Kesatuan Eropah kerana ia bukan pendirian bersama blok tersebut.

Beliau turut mempersoalkan alasan “pertimbangan keselamatan” yang digunakan Norway untuk membatalkan kontrak itu secara tiba-tiba, walaupun Malaysia hampir melunaskan keseluruhan pembayaran. Menurutnya, tiada penjelasan terperinci diberikan mengenai alasan tersebut.

Anwar turut memaklumkan bahawa Amerika Syarikat telah menjelaskan ia tidak mempengaruhi atau memberi tekanan kepada Norway untuk menghentikan perjanjian berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 1 Julai berkata kerajaan sedang mengambil tindakan bagi mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat berdasarkan klausa dalam kontrak yang ditandatangani.

Kontrak bersama syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace AS, mengandungi peruntukan yang membolehkan Malaysia menuntut pampasan sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan atau pelanggaran kontrak.

Kerajaan juga telah mengemukakan notis tuntutan kepada syarikat berkenaan bagi mendapatkan pampasan kira-kira RM1 bilion susulan pembatalan penjualan peluru berpandu NSM.

Malaysia telah membayar kira-kira 95% daripada nilai kontrak berjumlah €124 juta (RM571.9 juta) sejak perjanjian dimeterai pada 2018. Namun, Norway menghentikan penghantaran peluru berpandu anti-kapal itu pada Mei 2026 dengan alasan keselamatan negara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved