
LAHAD DATU: Pemimpin di seluruh Sabah digesa agar lebih peka dan prihatin terhadap keperluan rumah ibadat, khususnya surau dan masjid.
Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) Suling Isib berkata, terdapat rumah ibadat yang mengalami kerosakan serta usang dari segi peralatan dan struktur bangunan.
Katanya, perkara ini perlu perhatian dan bantuan segera bagi memastikan keselesaan masyarakat ketika beribadah.
"Keprihatinan terhadap rumah ibadat amat penting, bukan sahaja untuk keperluan semasa tetapi juga untuk kesejahteraan jangka panjang.
"Pemimpin harus mengutamakan kebajikan rumah ibadat tanpa mengira agama, agar masyarakat dapat beribadah dengan selesa dan aman,” katanya.
Suling, yang juga Ketua Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Zon Tungku, berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di beberapa masjid dan surau di Tungku dan Felda Sahabat.
Suling menegaskan StarSabah tidak akan berkompromi dalam isu 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Raja) dan menolak sebarang usaha membawa isu sensitif tersebut ke Sabah.
“Kita harus menghargai serta meraikan kepelbagaian agama dan budaya di negeri ini.
"Sikap saling menghormati dan berkasih sayang adalah kunci utama dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat,” tambahnya.
