Pemimpin tinggi tidak terkecuali: Anwar tekad hentikan amalan rasuah yang membobrok tadbir urus kerajaan

Politics
6 Aug 2023 • 12:47 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KEPALA BATAS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad untuk menghentikan amalan rasuah dan penyelewengan, yang menurutnya bagaikan sudah jadi sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan.

Beliau berkata Malaysia ini kaya dengan hasil minyak dan gas, kelapa sawit serta hasil bumi, tetapi amalan itu (rasuah) macam sudah jadi sistemik ketika pentadbiran kerajaan lama.

Katanya, pentadbiran kerajaan sebelum ini banyak melibatkan permintaan ‘komisen’.

“Saya kalau dimaki sebanyak mana pun saya tidak peduli, saya nak hentikan amalan-amalan itu… kalau saya izinkan (rasuah) sampai bila negara kita ini nak maju,” katanya dalam ucapan perasmian Himpunan Usahawan Bumiputera bertema Usahawan Madani, Membangun Ekonomi, di sini pada Sabtu.

SPONSORED CONTENT K.T.I. achieves RM140 million sales Kota Kinabalu: K.T.I. Sdn Bhd’s The Logg, Luyang has launched Easy Care, its brand-new hospitality initiative, which aims to elevate the living experience by providing an all–in-one care to its residents at Shorea n Astoria. Read more Beliau berkata amalan itu kekal sebelum ini kerana tiada sesiapa berani sentuh pemimpin yang berjawatan tinggi.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan bertekad untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam negara, meliputi semua lapisan masyarakat pada tahun ini.

Beliau berkata rekod sekarang negara masih mempunyai kira-kira 136,000 keluarga dalam golongan miskin tegar.

“Saudara rasa saya boleh senang-lenang menjadi PM pada ketika rakyat ada yang nak beli susu pun tiada wang, beli uniform sekolah pun tidak boleh… kita (ahli politik) gaduh soal yang lain dan rebut bidang kuasa. Hal-hal asas tidak boleh selesaikan, jadi saya kata.. katalah apa pun, maki lah banyak mana berbakul pun…saya tidak akan bertolak ansur nak noktah kemiskinan (tegar) tahun ini juga,” katanya.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pulau Pinang kerana negeri ini merupakan satu-satu negeri yang mempunyai rekod jumlah kemiskinan tegar yang paling rendah di seluruh negara.

Terdahulu, kira-kira 1,000 usahawan bumiputera dan 40 agensi kerajaan persekutuan, serta negeri telah menyertai Majlis Himpunan Usahawan Bumiputera yang diadakan di Bertam Resort.

Sementara itu, di BUKIT MERTAJAM, Perdana Menteri menyarankan syarikat perladangan tempatan yang memiliki rizab tanah besar supaya menanam sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menampung keperluan makanan dalam negara yang semakin meningkat.

Anwar berkata beliau sudah memberi arahan kepada syarikat seperti Sime Darby Bhd, FGV Holdings Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd untuk melaksanakan penanaman tanaman makanan seperti itu.

“Ini adalah langkah jangka sederhana yang kita boleh buat untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Malaysia ni subur, mengapa sayur dan buah tidak cukup? Ini soal bekalan dan permintaan.

“Kerana itulah kita minta syarikat besar ini untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan. Harga cili dan bawang kini tinggi melangit kerana semuanya diimport,” katanya dalam Sesi Dialog dan Minum Petang bersama warga Dell Technologies di sini, Sabtu.

Beliau berkata syarikat besar terbabit memiliki kepakaran dan sumber untuk menanam sayur-sayuran dan buah-buahan.

Anwar juga berkata bagi menangani isu kos sara hidup yang tinggi, kerajaan akan terus memberi subsidi bagi bahan makanan asas dan memperluas inisiatif Rahmah ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara sebagai penyelesaian jangka pendek.

Mengenai perancangan kerajaan untuk menstabilkan nilai ringgit berbanding mata wang asing terutama dolar Amerika, beliau berkata isu itu sangat kompleks kerana ia ada hubungan dengan kesan tindakan ekonomi yang diambil oleh Amerika Syarikat yang di luar kawalan Malaysia.

Justeru, Perdana Menteri berkata adalah amat penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia dengan mengekalkan kestabilan politik di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang ini, ringgit menguat sedikit disebabkan oleh kemasukan pelaburan asing seperti Tesla, Bosch, Geely dan Saudi Aramco maka jangan remehkan keperluan untuk satu kerajaan yang stabil dengan dasar ekonomi yang jelas.

“Kita tidak boleh hanya menyerahkan nasib kita kepada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat kerana keputusan mereka mengenai kadar faedah akan memberi kesan kepada seluruh dunia namun kita boleh mengawalnya dengan memastikan wujud kestabilan dalam kerajaan melalui dasar ekonomi,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.