‘Pemimpin Umno ke UK bayar dengan duit poket sendiri’, pegawai TPM jelaskan situasi sebenar

LocalPolitics
4 Jun 2025 • 10:00 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Setiausaha Politik Ahmad Zahid, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memaklumkan pemimpin-pemimpin yang dilihat bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan kerja ke London tidak menerima sebarang perbelanjaan daripada kerajaan.

Beliau berkata, kebanyakan mereka hadir menggunakan dana sendiri untuk menyertai rombongan tersebut kecuali pegawai kepada Ahmad Zahid.

“Kecuali pegawai (Zahid), yang lain bayar dengan duit poket sendiri. Mereka tidak menerima sebarang perbelanjaan daripada Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya.

Memetik laporan Malaysia Kini, Megat Zukarnain berkata sebahagian pemimpin Umno yang dilihat menghadiri acara bersama Presiden parti itu di United Kingdom berada di negara tersebut kerana bercuti.

Sebelum ini, tular beberapa beberapa gambar 12 pemimpin UMNO berada di London mengiringi Ahmad Zahid dalam lawatan kerja empat hari ke London.

Antara yang menyertai rombongan tersebut termasuk Megat Zulkarnain sendiri yang juga Pengerusi Umno Selangor, Ketua Umno Bahagian Seputeh Datuk Razlan Rafii, dan Exco Pemuda Umno merangkap Setiausaha Akhbar kepada Zahid, Fadzmel Fadzil.

Turut bersama ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang hadir atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu sebuah agensi di bawah portfolio Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Bagaimanapun, lapan lagi pemimpin Umno yang turut berada di London dikatakan tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan pejabat Timbalan Perdana Menteri atau kementeriannya.

Lawatan kerja Ahmad Zahid ke United Kingdom ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), pelancongan, serta pelaburan. Beliau dijadual melancarkan kempen Melawat Malaysia 2026 bagi pasaran UK sebelum meneruskan perjalanan ke Geneva.