Peminat Harry Potter Mungkin Teruja Dengan Kolaborasi Baharu Realme Ini

EntertainmentTechnology
26 Sep 2026 • 3:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bagi yang membesar dengan Harry Potter, nama Hogwarts, Gryffindor, Slytherin, Ravenclaw dan Hufflepuff tentunya bukan sekadar nama biasa.

Ada nostalgia tertentu yang datang bersamanya. Jadi apabila dunia magik itu diterjemahkan pula ke dalam sebuah telefon pintar, pasti peminat tegar Harry Potter akan ambil perhatian.

Jenama realme baru-baru ini memperkenalkan realme 16 Pro Harry Potter Edition di Malaysia, hasil kolaborasi bersama Warner Bros. Discovery Global Consumer Products.

Daripada reka bentuk hingga ke kotak pembungkusan, elemen yang digunakan memang jelas mengambil inspirasi dari dunia Hogwarts.

Kemasan coklat dengan tekstur Argyle, misalnya, diinspirasikan daripada babak Wizard's Chess, manakala bahagian kamera belakang pula mengambil sentuhan daripada Hedwig. Pada bingkai logam, terdapat ukiran Welcome to Hogwarts yang melengkapkan keseluruhan reka bentuk.

Image from: Peminat Harry Potter Mungkin Teruja Dengan Kolaborasi Baharu Realme Ini

Tetapi yang mungkin paling menarik untuk peminat ialah empat lambang Hogwarts House pada bahagian belakang telefon.

Lambang tersebut menggunakan teknologi Quadra Light-Sensing Color-changing yang membolehkan warna setiap rumah muncul apabila terkena cahaya matahari. Jadi, warna empat rumah Hogwarts itu bukan sekadar dicetak pada telefon, tetapi berubah mengikut pencahayaan.

Boleh dikatakan, ini antara elemen yang membuatkan edisi khas ini terasa lebih dekat dengan dunia Harry Potter berbanding sekadar meletakkan logo pada sebuah telefon.

Dapat Surat Hogwarts Dan Tiket Platform 9¾

Kemudian datang pula bahagian yang mungkin membuat peminat rasa seperti membuka barangan koleksi. Koleksi terbaru realme ini menyediakan kotak edisi terhad yang direka menyerupai trunk Harry Potter. 

Di dalamnya ada beberapa barangan bertemakan Hogwarts termasuk surat penerimaan ke Hogwarts, tiket Platform 9¾, penanda buku empat rumah, kad pos watak, sarung telefon berlogo Hogwarts dan phone pin.

Image from: Peminat Harry Potter Mungkin Teruja Dengan Kolaborasi Baharu Realme Ini

Bagi peminat yang memang menggemari memorabilia Harry Potter, butiran seperti ini mungkin lebih mencuri perhatian berbanding spesifikasi telefon itu sendiri.

Antara muka telefon juga tidak dibiarkan begitu sahaja. Wallpaper, ikon aplikasi, animasi dan GT Mode diberikan sentuhan Hogwarts supaya tema tersebut berterusan apabila telefon digunakan.

Kolaborasi ini turut diperluaskan kepada realme Buds T500 Pro Harry Potter Edition. Fon telinga edisi khas itu hadir bersama bekas pengecas yang direka seperti trunk mini Harry Potter, lengkap dengan tali silang yang membolehkan ia dipakai sebagai aksesori.

Kalau Mahu Rasa Macam Masuk Hogwarts

Bukan hanya produk, realme turut membawa tema tersebut ke ruang fizikal menerusi acara Welcome to Hogwarts di Blue Concourse, Sunway Pyramid dari 21 hingga 27 September.

Ruang berkenaan direka dengan inspirasi daripada Great Hall dan common room empat rumah Hogwarts. Pengunjung juga boleh mencuba aktiviti seperti menghasilkan muka depan Daily Wizard sendiri dan menggunakan Sorting Hat menerusi ciri potret yang disediakan.

Koleksi realme 16 Pro Harry Potter Edition ditawarkan pada harga RM2,699 dan hanya 5,000 unit dikeluarkan untuk pasaran global manakala realme Buds T500 Pro Harry Potter Edition pula berharga RM399. - Getaran, 26 September 2026

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved