
KUALA LUMPUR: Sempena pertembungan 'El Clasico' antara Real Madrid dan Barcelona esok, peminat tempatan kedua-dua kelab bola sepak gergasi Sepanyol itu dijemput untuk datang beramai-ramai menonton aksi dua musuh tradisi tersebut di SP Sports Park di sini, bermula 9 malam.
“El Clasico sememangnya terkenal dengan semangat persaingannya dan parti tontonan secara langsung ini bertujuan mewujudkan suasana seperti di stadium, menyatukan peminat sambil meraikan perlawanan yang hebat itu,“ menurut LaLiga dalam kenyataan.
Menurut LaLiga yang merupakan penganjur acara itu, pihaknya turut menyediakan makanan dan minuman serta pelbagai aktiviti menyeronokkan termasuk pemberian jersi.
“Mereka yang berminat boleh mendaftar slot mereka menerusi www.sambill-park.com/laliga untuk tempat duduk,“ menurut kenyataan itu.
LaLiga memaklumkan sebanyak 30 negara temasuk Malaysia menganjurkan acara istimewa sempena perlawanan liga bola sepak Sepanyol atau La Liga itu yang akan berlangsung di Stadium Lluís Companys Oliympic di Barcelona. -Bernama

