
PETALING JAYA: Perkongsian anak kepada pasangan selebriti, Fattah Amin dan Nur Fazura, iaitu Nur Fatima Aisyah, mengundang perhatian ramai apabila memuat naik foto lengkap keluarga kecilnya yang disifatkan sebagai kenangan paling bermakna dalam hidupnya.
Foto yang memaparkan Fatima diapit kedua-dua ibu bapanya itu tular di media sosial selepas dimuat naik sempena sambutan Hari Kebudayaan di sekolahnya pada Sabtu.
“Ini adalah masa yang tidak dapat saya lupakan semasa Hari Kebudayaan sekolah tahun ini bersama mommy dan daddy. Saya buat mereka bangga dengan persembahan saya.
“Saya turut buatkan sandwich untuk mommy dan yogurt buah-buahan untuk daddy,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.
Selain gambar keluarga, Fatima turut berkongsi beberapa keping foto memaparkan dia menulis surat jemputan khas untuk mengundang kedua-dua ibu bapanya menghadiri acara tersebut.
Dalam hantaran sama, Fatima turut meluahkan keterujaannya untuk melangkah ke tahun satu pada tahun hadapan.
“Saya teruja hendak belajar lebih lagi memandangkan bakal memasuki Tahun Satu tahun hadapan. Alhamdulillah, terima kasih Allah,” tulisnya lagi.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada peminat yang tersentuh melihat kesediaan Fazura dan Fattah mengetepikan perbezaan demi memastikan perkembangan emosi serta kebahagiaan anak walau masing-masing sudah membawa haluan sendiri.
“Terharu lihat gambar ini. Sudah-sudahlah kita bercakap buruk tentang Fazura dan Fattah. Semua baik-baik sahaja. Gambar ini sangat bermakna buat Fatima,” tulis seorang peminat.
“Gembira sampai menitik air mata melihat gambar ini. Semua demi kebahagiaan si kecil. Inilah yang terbaik,” tulis komen lain.
“Sejuk hati. Senyuman mereka dalam gambar ini menggambarkan hati yang tenang dan betapa bahagianya Fatima apabila dapat bersama ibu dan ayahnya,” kata seorang lagi netizen.
Untuk rekod, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, Fattah Amin dan Fazura sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisyah.
Selepas perceraian, Fattah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Amira Othman, pada 14 September 2025. Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Jarir Umar.
The post Peminat sejuk hati, Fatima anggap momen bertiga kenangan paling bahagia appeared first on Utusan Malaysia.



