
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil maklum mengenai isu pemindahan anggota-anggota polis "bermasalah" ke Sabah dan Sarawak.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (gambar) berkata beliau mengarahkan Jabatan Pengurusan PDRM untuk mengambil tindakan lanjut.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak atas maklum balas yang diberikan," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Op Bersepadu Khazanah, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, dilaporkan sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan berkaitan kesemua anggota terdiri daripada konstabel hingga sub inspektor masih dijalankan secara terperinci.
Pada Sabtu, sembilan anggota polis dilaporkan disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini.
Anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Jumaat.
Sasikala Devi berkata, kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.
