
BAITULMUQADDIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tindakan Israel memindahkan secara paksa seluruh penduduk Palestin dari tiga kem pelarian di Tebing Barat tahun lalu boleh dianggap jenayah terhadap kemanusiaan.
Dalam laporan yang dikecam Israel, pejabat hak asasi manusia PBB memperincikan bagaimana operasi ketenteraan yang dilancarkan di bahagian utara wilayah yang diduduki itu pada Januari 2025 menyebabkan lebih 33,000 penduduk dipindahkan secara paksa.
“Pada awal Operasi ‘Iron Wall’, tentera, polis dan pasukan Israel yang lain memasuki kem berkenaan, membunuh orang awam, memusnahkan ratusan rumah serta merosakkan infrastruktur.
“Pasukan Israel turut memutuskan bekalan air dan elektrik serta menghalang akses bantuan kemanusiaan ke kem berkenaan sebelum bergerak dari rumah ke rumah untuk memaksa penduduk meninggalkan kawasan itu.
“Pemindahan secara besar-besaran, berpanjangan dan sistematik terhadap lebih 33,000 pelarian Palestin dari kem Jenin, Nur Shams dan Tulkarm sepanjang Operasi Iron Wall oleh Israel menimbulkan kebimbangan serius mengenai jenayah terhadap kemanusiaan berbentuk pemindahan paksa,” menurut laporan itu.
Menurut PBB, setakat Julai tahun ini, seramai 33,362 pelarian Palestin yang dipindahkan dari ketiga-tiga kem berkenaan masih tidak dibenarkan pulang.
Pejabat hak asasi manusia PBB berkata, penggunaan serangan udara, jentolak berperisai dan letupan terkawal untuk menjadikan keseluruhan kem tidak lagi boleh didiami, memaksa penduduk berpindah serta menghalang mereka daripada kembali jelas tidak dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa.
Katanya, tindakan Israel itu kelihatan seperti hukuman kolektif dan menimbulkan kebimbangan mengenai pembersihan etnik.
Israel bagaimanapun menuduh laporan itu menyebarkan maklumat palsu dan mengabaikan ancaman serangan pengganas.
Tebing Barat, yang diduduki Israel sejak 1967, menyaksikan peningkatan keganasan sejak tercetusnya perang di Semenanjung Gaza susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Keganasan meningkat dengan ketara selepas Operasi Iron Wall dilancarkan pada 21 Januari tahun lalu, 48 jam selepas gencatan senjata rapuh berkuat kuasa di Semenanjung Gaza.
Israel mengumumkan pada 23 Februari 2025 tenteranya sudah mengosongkan ketiga-tiga kem pelarian berkenaan. Ia merupakan sebahagian daripada 19 kem pelarian di seluruh Tebing Barat.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, ketika itu beliau mengarahkan tentera bersiap sedia untuk mengekalkan kehadiran berpanjangan di kem-kem yang sudah dikosongkan itu bagi menghalang penduduk daripada kembali semula.
Pada Jumaat ,Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk berkata, cara operasi itu dijalankan menunjukkan bahawa matlamatnya adalah untuk mengusir seramai mungkin rakyat Palestin dan membuka laluan bagi lebih banyak penempatan Israel yang haram, sekali gus terus melanggar undang-undang antarabangsa. – AGENSI
The post Pemindahan paksa di Tebing Barat jenayah terhadap kemanusiaan appeared first on Utusan Malaysia.






