KUALA LUMPUR – Pemodenan gaya China yang diketengahkan dalam buku Xi Jinping: 'The Governance of China' disifatkan sebagai rujukan penting kepada negara membangun dalam merangka hala tuju pembangunan masing-masing.
Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, pendekatan itu menjelaskan bahawa pemodenan perlu disesuaikan dengan keadaan dan keperluan sesebuah negara, tidak semestinya berasaskan model Barat.
"Pembangunan dan amalan berjaya China membuktikan bahawa pemodenan tidak sama dengan pembaratan.
"Tiada model tunggal untuk pemodenan dan tiada formula sejagat yang sesuai untuk semua.
"China bersedia memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuh penyelarasan strategik dan komunikasi dasar dengan Malaysia, mempertingkat pertukaran serta pembelajaran bersama dalam tadbir urus negara dan bersama-sama melangkah ke tahap sejarah baharu pemodenan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Forum Pembaca China-Malaysia Mengenai Naskah Edisi Bahasa Inggeris Xi Jinping: 'The Governance of China' (Jilid Kelima) di sebuah hotel pada Khamis.
Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul.
Ujar Yujing, hubungan China dan Malaysia berada pada tahap kukuh dengan kedua-dua negara saling melengkapi dari segi struktur industri dan kepentingan ekonomi.
Menurutnya, Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar China dalam ASEAN dan sumber import terbesar, manakala China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut.
"China akan bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan sepenuhnya hasil lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, meneroka potensi kerjasama dalam industri baharu seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau, serta memberi tumpuan kepada pembangunan pemacu pertumbuhan baharu dalam bidang termaju seperti pembuatan canggih dan kecerdasan buatan.
"Bersama-sama, kita akan membina hab serantau dalam produktiviti berkualiti baharu, menyokong transformasi dan peningkatan industri masing-masing serta mempercepat proses pemodenan kedua-dua negara," ujarnya.

