Amerika Syarikat membuka semula proses permohonan visa bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dua minggu lalu. Ini selepas proses digantung pada penghujung Mei bagi mengikut arahan yang diberikan oleh Presiden Donald Trump. Terkini Kedutaan Amerika Syarikat di India mengeluarkan kenyataan pemohon visa F, M dan J yang ketiga-tiganya untuk tujuan melanjutkan pelajaran perlu menyahkunci atau membuka untuk bacaan umum akaun-akaun media sosial milik mereka.

Ini adalah bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan ke atas kandungan-kandungan yang dimuat naik oleh pemohon. Presiden Trump sebelum ini merungut mengatakan pelajar luar negara tidak bersyukur dengan muatan media sosial yang membenci Amerika Syarikat. Tindakan ini diambil selepas beberapa demo menyokong Palestin dianjurkan oleh golongan pelajar di kampus seluruh negara yang dihadiri pelajar luar negara.
Pihak Wisma Putra turut mengeluarkan arahan tidak membenarkan pelajar Malaysia menyertai demo-demo ini atas sebab keselamatan kerana ada pelajar yang ditahan yang kemudiannya digantung daripada menyertai sesi akademik.
Sejak 2017, kedutaan Amerika Syarikat ini telah meminta maklumat kesemua akaun media sosial, nombor telefon, nombor passport dan alamat emel yang digunakan pemohon visa .Selain itu Sejarah perjalanan, pekerjaan dan alamat tempat tinggal mereka sejak lima belas tahun yang lalu juga diminta. Maklumat-maklumat ini diperlukan untuk mengesahkan identiti pemohon dan adalah langkah tapisan lebih ketat bagi memastikan keselamatan US kerana ancaman pengganas.




