Pempengaruh, Ceddy Ang Layak Dipuji, Tak Pernah Berhenti Menyokong Palestine

16 May 2024 • 12:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Foto : IG @ceddyornot

Pempengaruh media sosial, Ceddy Ang, 36 tidak pernah berhenti bercakap, malah lantang bersuara apabila menyatakan sokongannya terhadap rakyat Palestine. Bagi Ceddy, konflik yang berlaku di Palestine bukan hanya melibatkan isu agama semata-mata, tetapi ia adalah isu kemanusiaan. 

Ketika artis Malaysia terpukul dengan kewujudan senarai Blockout 2024 yang dilakukan oleh warganet Malaysia, Ceddy juga tampil memberi pandangan. Ini kerana ada segelintir artis yang seakan-akan tidak boleh menerima hakikat bahawa perbuatan mereka itu tidak ‘direstui’ ramai. 

image is not available

Lantas ramai yang tampil dengan pelbagai kenyataan dan bukti bagi mempertahankan diri. Malah, ada yang ingin mengambil tindakan undang-undang jika masih ada yang tidak berhenti bercakap atau melampaui batas. 

Dalam satu hantaran di aplikasi X, Ceddy menjelaskan sebagai pencipta kandungan dia juga tidak terkecuali daripada disenarai hitam oleh jenama-jenama besar (yang punya kaitan dengan Israel) apabila terpaksa menolak jemputan mereka untuk berkerjasama.

image is not available

“Sebagai pencipta kandungan sepenuh masa, agak berisiko untuk kami menolak beberapa jenama besar kerana mereka akan menyenaraihitamkan kami. Selepas Oktober 2023, pengurusan saya dan saya sendiri telah menolak peluang kerjasama daripada jenama yang berada dalam senarai boikot dan sejujurnya, Kami bimbang tentang sumber pendapatan kami,” tulis pempengaruh yang terkenal dengan kandungan makan-makan ini. 

Namun jelas Ceddy lagi, biarpun gusar dengan mata pencarian yang mungkin terjejas, dia juga yakin rezeki dalam pelbagai bentuk, dan terbukti ada pihak lain yang sudi menawarkan peluang lain.

“Tetapi Tuhan itu hebat, kerana pesaing mereka (bukan dalam senarai boikot) mula mencari saya dan saya mendapat kerja dalam bidang pengacaraan, sama ada di lokasi acara mahupun di kaca TV.

“Anda mahu saya menjadi cameo dalam drama TV pun saya akan ambil. Apa yang saya ingin katakan ialah, rezeki dalam pelbagai bentuk. Jika boleh, cuba yang terbaik untuk melakukan perkara yang betul,” tulis Ceddy lagi.

Selain itu, Ceddy juga menyatakan dia sama sekali tidak takut seandainya namanya tersenarai dalam Blockout 2024. Ini kerana dia tahu dia di pihak mana, dan berpendapat hanya mereka yang malas dan tidak membuat kajian sahaja yang akan menyenaraikan namanya. 

Dalam satu perkongsian lain di akaun TikToknya, Ceddy sekali lagi membuka mata ramai pihak apabila dia ‘gigih’ melukis peta Gaza bagi memastikan pengikutnya benar-benar faham dengan situasi genting di Rafah.

Sehingga kini, video itu telah meraih tontonan lebih daripada 1 juta dan ia juga dikongsi lebih 7,000 pengguna TikTok. 

Usaha yang dilakukan oleh Ceddy ini diharapkan boleh membuka mata lebih ramai  pempengaruh di luar sana supaya menggunakan akaun media sosial mereka dengan lebih bijak agar memberi manfaat kepada komuniti. - Getaran, 16 Mei 2024