Pempengaruh global promosi Sabah

LocalTravel
17 Oct 2025 • 3:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pempengaruh media sosial dari 10 negara berada di Sabah minggu ini bagi menerokai pengalaman kebudayaan, alam semula jadi dan kulinari tempatan sebagai sebahagian daripada lawatan pengenalan di bawah All Star Influencers Award (Asia) 2025.

Kedatangan pempengaruh dari Jepun, Uzbekistan, Timur Tengah, Thailand, Indonesia, Filipina, Rusia, China, Vietnam dan Malaysia itu disambut oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai pada majlis makan malam yang dianjurkan STB di Hotel Marriot pada Selasa.

Mereka tiba di Kota Kinabalu pada Selasa lalu platform Asia 2025 menghimpunkan para pencipta kandungan dalam satu perjalanan merentasi lapan negeri di Malaysia bagi menghasilkan kandungan kreatif yang menonjolkan keindahan budaya, alam semula jadi dan destinasi pelancongan tempatan.

Joniston berkata penyertaan Sabah dalam inisiatif ini memberi peluang kepada kumpulan tersebut untuk melihat sendiri keunikan tarikan serta gaya hidup masyarakat tempatan sekali gus membolehkan mereka berkongsi kisah perjalanan autentik dengan para pengikut masing-masing.

Menurutnya dalam tempoh dua hari berikutnya kumpulan berkenaan akan melawat Kampung Kebudayaan Mari Mari untuk menyaksikan persembahan perkahwinan tradisional dan ritual Kadazan sebelum diikuti lawatan ke Kundasang.

Joniston turut menggalakan para pempengaruh mencuba beberapa lokasi daripada Kota Kinabalu Food Trail yang baru dilancarkan melibatkan 29 restoran terpilih yang menampilkan kepelbagaian kulinari di bandar raya ini.

“Ketika berinteraksi dengan beberapa pempengaruh mereka berkongsi bahawa ini adalah lawatan pertama mereka ke Sabah dan sudah terpikat dengan pemandangan pesisir bandar khususnya panorama matahari terbenam dan kepulauan yang dapat dilihat dari bumbung Hotel Marriot.

“Saya dimaklumkan bahawa semua pempengaruh ini mempunyai jumlah pengikut gabungan melebihi 700 juta dan jika kita dapat menarik perhatian walaupun satu peratus daripada jumlah itu ia sudah cukup bermakna bagi Sabah,” katanya.

Beliau turut menggesa para pempengaruh berkongsi maklum balas dan pandangan selepas lawatan mereka dengan menyatakan bahawa perspektif masing-masing dapat membantu Sabah menambah baik tawaran pelancongan bagi memenuhi citarasa pelancong berbeza.

Joniston menambah kerjasama dengan pencerita digital merupakan komponen penting dalam strategi pemasaran STB yang menghubungkan promosi tradisional dengan pengaruh dalam talian masa kini.

“Pencerita digital boleh membantu memperluas capaian Sabah dan kita perlu terus bekerjasama rapat dengan pencipta kandungan untuk membentuk cara dunia mengenali dan mengalami Sabah,” katanya.