Pempengaruh maut, pacuan empat roda rempuh treler

LocalCars
17 Feb 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa remuk di bahagian hadapan selepas merempuh treler di Jalan Teng Kung Suk 2, Sibu.
image is not available
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Teng Kung Suk 2, Sibu.

SIBU - Seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial di daerah ini maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya merempuh rangka treler dalam kejadian di Jalan Teng Kung Suk 2, awal pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Chen Ding Ding, 41, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh rangka sebuah treler kontena yang diletakkan di bahu jalan.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa yang tersepit kemudian dibawa keluar oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan.

**media[3437524]**

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.

"Keadaan pacuan empat roda mangsa juga didapati remuk di bahagian hadapan dan terperosok di bawah rangka treler tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.