Pempengaruh maut: Wanita, pemandu lori diheret ke mahkamah

16 Jul 2024 • 12:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sathiskumar (kanan) dan Shalini dibawa ke ke Mahkamah Majistret dan Sesyen pada Selasa. Foto Rosli Talib-SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Seorang wanita, P Shalini dan pemandu lori dikenali ‘Dulal_Brothers’ yang dikaitkan dengan kematian pempengaruh, A Rajeswary atau Esha, diheret ke Mahkamah Majistret serta Sesyen di sini pada Selasa.

Pemilik rumah kebajikan, P Shalini, 35, yang didakwa di Mahkamah Majistret atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat, didenda RM100 dan mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tujuh hari, jika wanita itu gagal membayar denda itu.

Sementara hukuman terhadap B Sathiskumar, 44, yang mengaku salah atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata lucah, ditangguhkan ke tarikh yang belum ditetapkan, selepas dia menyatakan mahu melantik peguam.

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu, tiga individu termasuk seorang bekas polis akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes buli siber terhadap Esha di TikTok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, ketiga-tiga individu terbabit akan dipanggil dalam minggu ini.

Esha ditemui maut di kediamannya di Setapak di sini pada 5 Julai, selepas sehari membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Susulan itu, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Esha sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

AKAN MENYUSUL