Pemuda Amanah desak KKM selesaikan isu e-Placement doktor kontrak

LocalPolitics
19 Mar 2025 • 1:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Isu doktor kontrak bukan perkara baharu dan telah dibangkitkan oleh beberapa Menteri Kesihatan sebelum ini. Gambar kecil: Danial

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera menyelesaikan masalah teknikal dihadapi sistem penempatan tetap doktor kontrak, khususnya dalam ePlacement pengambilan Februari 2025 yang didakwa bermasalah.

Naib Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid Haron menegaskan, isu doktor kontrak bukan perkara baharu dan telah dibangkitkan oleh beberapa Menteri Kesihatan sebelum ini, termasuk Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang berjanji untuk menyelesaikannya.

"Namun, berdasarkan sumber dalaman, ePlacement yang dikendalikan KKM mengalami masalah, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan 2,000 doktor kontrak yang memohon," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dakwanya, kelemahan teknikal dan pengurusan dalaman itu tidak mencerminkan tahap profesionalisme KKM yang sepatutnya menjadi contoh dalam mengurus tenaga pakar negara.

"Sekiranya KKM memerlukan bantuan, mereka seharusnya mendapatkan konsultasi daripada pakar sumber manusia yang berkelayakan, bukannya terus bergantung kepada barisan pengurusan sedia ada yang jelas tidak kompeten," tambahnya.

Danial turut meluahkan rasa kecewa apabila melihat doktor tempatan semakin memilih sektor swasta berbanding perkhidmatan awam kerana keletihan menghadapi kerenah birokrasi yang tidak berpihak kepada mereka.

"Malaysia dikenali sebagai destinasi terbaik untuk pelancongan perubatan tetapi doktor tempatan sendiri terpaksa berdepan kesukaran untuk mendapatkan penempatan tetap.

"Mereka bukan tidak patriotik tetapi keletihan dengan sistem yang tidak efisien dan tidak belajar daripada kesilapan lalu," dakwanya.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah mendesak Menteri Kesihatan segera menjalankan audit forensik terhadap perkhidmatan KKM bagi meneliti kelemahan yang berlarutan dan menjejaskan sistem penempatan doktor kontrak.

Danial turut mengambil maklum bahawa Menteri Kesihatan telah mengarahkan penyelesaian secara holistik dan menyeluruh dengan tempoh enam hingga lapan minggu diperuntukkan bagi melaksanakan ePlacement baharu.

"Kami berharap penyelesaian ini benar-benar memberi manfaat kepada doktor kontrak dan memastikan sistem yang lebih adil serta berkesan," tegasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved