Pemuda Amanah, PAS & AMK Bantah Pencalonan Nick Adams Sebagai Duta Ke Malaysia

LocalPolitics
14 Jul 2025 • 6:38 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 10 Julai, kecoh apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mencalonkan Nick Adams sebagai Duta Besar ke Malaysia yang baharu.

Trump mengumumkan perkara itu menerusi hantaran di media sosial, serta menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa dan usahawan berjaya.

Dia turut memuji komitmen Adams terhadap apa yang digelar sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.

Banyak Pihak Bantah Pelantikan Adams Ke Malaysia

Namun, cadangan pelantikan Adams sebagai Duta Besar AS yang baharu ke Malaysia telah menerima bantahan oleh banyak pihak seperti pemuda Amanah, pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Menerusi satu kenyataan, Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Mus’ab Muzahar, menyifatkan pelantikan itu sebagai satu bentuk penghinaan terhadap maruah negara.

Dia juga berkata pemilihan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia baharu melanggar prinsip dasar luar negara yang menjunjung kedaulatan, keamanan serantau serta solidariti bersama rakyat tertindas terutamanya Palestin.

“Nick Adams bukan diplomat, bukan negarawan. Beliau hanyalah seorang propagandis ekstrem kanan, tokoh Trumpis tegar, serta penyokong lantang rejim Zionis Israel.

“Retoriknya di media sosial penuh kebencian, perkauman, dan sentimen Islamofobia, jelas jauh menyimpang dari semangat hubungan dua hala yang matang,” katanya.

Malaysia Layak Tentukan Wakil Negara Asing Ke Tanah Air

Tambah Mus’ab lagi, memberi kebenaran untuk Adams menjadi duta ke Malaysia seolah-olah membuka pintu kepada agenda toksik dan politik kebencian.

“Pelantikan ini seharusnya ditolak secara tegas di bawah Artikel 4 Konvensyen Vienna, tanpa perlu sebarang alasan.

“Kedaulatan Malaysia membolehkan kita menentukan siapa yang layak mewakili negara asing di tanah air kita. Ini bukan soal peribadi, ini soal prinsip dan maruah negara.

“Penolakan terhadap Nick Adams bukan ancaman terhadap hubungan Malaysia-Amerika, sebaliknya satu mesej bahawa Malaysia berprinsip, bermaruah dan tidak tunduk kepada permainan geopolitik Amerika,” katanya.

Ketua Pemuda PAS Selangor Gesa Kerajaan Tolak Pelantikan Adam

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar turut menggesa kerajaan agar mengambil pendirian tegas dan jelas untuk menolak pelantikan Adams.

Mengulas lanjut tentang tokoh kontroversi itu, dia berkata Adams merupakan seseorang yang menyebar kebencian terhadap Islam secara terbuka dan menyokong rejim penjajah Zionis.

“Beliau pernah dengan bangganya mendedahkan bahawa beliau menekan sebuah restoran di Amerika untuk memecat seorang pelayan wanita hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’.

“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini mencerminkan sikap ekstrem, tidak bertamadun dan penuh kebencian terhadap perjuangan membela rakyat Palestin yang tertindas,” katanya dipetik Berita Harian.

Dalam pada itu, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkongsi pendirian sama apabila turut menggesa kerajaan agar menolak pelantikan Adams.

Dia menjelaskan bahawa negara dibenarkan untuk menolak duta yang dilantik, sebagaimana tertakluk di dalam Artikel 4 Konvensyen Vienna.

“Kini terpulang kepada Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri),” ujarnya.

AMK Akan Hantar Memorandum Rasmi Kepada Kedutaan AS

Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut menyuarakan bantahan terhadap pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.

Biro Hubungan Antarabangsa AMK Arief Izuadin, menjelaskan bahawa Adams yang sering dikaitkan dengan fahaman politik ekstrem kanan serta kecenderungan menyemai retorik berunsur perpecahan dianggap tidak sesuai sebagai duta ke Malaysia.

“Pendekatan beliau jelas bertentangan dengan nilai kemajmukan, toleransi dan solidariti yang dipegang oleh rakyat serta Kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, satu memorandum rasmi akan dihantar oleh AMK kepada Kedutaan Amerika Syarikat bagi menegaskan penolakan terhadap pencalonan Adams.

Parti itu turut mendesak agar individu lain yang lebih berwibawa, bersederhana dan menghormati nilai keadilan sejagat dicalonkan oleh Washington.

Adams Penyokong Kuat Trump, Sifatkan Diri Sebagai ‘Alpha Male’

Mereka yang mengikuti perkembangan politik antarabangsa pasti mengetahui bahawa Adams merupakan salah seorang penyokong kuat Trump.

Dia yang menyifatkan dirinya sendiri sebagai seorang ‘Alpha Male’, terkenal kerana sokongan terhadap dasar pro-Amerika dan sering mempromosikan nilai-nilai haluan kanan.

Adams turut menyatakan penghargaannya dalam satu hantaran di media sosial selepas namanya dicalonkan oleh Trump.

“Kepada lelaki dan wanita di seluruh Malaysia, saya tidak sabar untuk merasai budaya anda yang mulia,” katanya.

Siapa Nick Adams?

Adams yang dilahirkan di Australia berhijrah ke AS di mana dia menerima Extraordinary Ability Green Card yang lebih dikenali sebagai ‘Einstein Visa’.

Pada tahun 2021, dia menjadi rakyat AS menerusi proses naturalisasi sementara mengekalkan hubungan rapat dengan tanah airnya.

Dia juga merupakan individu yang menjalankan pertubuhan bukan keuntungan Foundation for Liberty and American Greatness (FLAG) yang mendidik berkenaan sivik serta memaklumkan kepada ibu bapa dan pelajar tentang kuasa ‘American Dream’.

Lembaga FLAG merangkumi beberapa tokoh terkenal, salah seorangnya Bill O’Reilly yang pernah menjadi sasaran rakyat Malaysia atas kenyataannya.

Source: