Pemuda dipenjara 3 bulan kerana ceroboh bangunan untuk lakukan aktiviti paranormal

LocalPolitics
26 Dec 2024 • 3:50 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Demi mengejar perhatian dan ganjaran di aplikasi media sosial, ada individu sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menceroboh premis milik orang lain untuk membuat siaran langsung aktiviti paranormal. Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencetuskan keresahan kepada pemilik hartanah terlibat.

Begitulah yang berlaku kepada Muhammad Haikal Mesrol, 24, seorang pembantu kedai cuci kenderaan, yang hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh bangunan terbiar di Bukit Pasir, Sabtu lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Haikal didakwa memasuki premis milik seorang pengurus berusia 66 tahun tanpa kebenaran pada 21 Disember lalu sekitar jam 7.10 pagi.

image is not available
Tertuduh | Sumber gambar: Harian Metro (Alias Abd Rani)

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan, atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah memutuskan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan, iaitu pada 21 Disember lalu.

Sumber: Harian Metro