
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sosej dan nuget merupakan antara makanan proses yang mempunyai peminatnya tersendiri.
Bukan sahaja mudah untuk disediakan, malah rasanya yang sedap menyebabkan ramai menjadikannya sebagai menu kegemaran termasuklah kanak-kanak.
Namun, pasti ramai juga yang tahu tentang bahaya jika mengambil makanan itu secara berlebihan.
Ini kerana kandungan garam serta bahan pengawet yang tinggi menyebabkan seseorang itu berisiko menghidap penyakit berbahaya antaranya seperti diabetes, kanser dan obesiti.
Pernah Terlantar Atas Katil, Tahap Kesihatan Beransur Pulih Lepas Tinggal Makanan Tidak Sihat
Terbaharu, seorang pemuda yang dikenali sebagai Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari mendedahkan dia kini berjaya meningkatkan tahap kesihatan selepas meninggalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat.
Kongsi Muhd Idzwan yang berusia 33 tahun, dia sebelum ini pernah disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada Oktober 2023.
Namun, kini beransur pulih dan semakin baik apabila penyakit buah pinggangnya berubah dari tahap kelima ke tahap tiga.
Malah, Idzwan juga sebelum ini pernah terlantar selama tiga tahun bermula dari 2019 kerana masalah tulang belakang akibat jatuh tangga.
Ketika kejadian, dia mempunyai berat badan yang mencecah 150 kilogram (kg) selain turut mempunyai penyakit lain seperti gout dan darah beku di paru-paru.
Terlalu Bergantung Kepada Makanan Proses Yang Tinggi Garam, Jadi Punca Hidap Sakit Kronik
Kongsinya lagi, tabiat pemakanan pada suatu ketika dahulu yang terlalu bergantung kepada makanan proses yang tinggi garam serta perasa tiruan menyebabkan beratnya pernah mencecah 190 kg.
“Dulu saya tak peduli tentang pemakanan. Saya suka makanan segera, minuman manis dan segala jenis sos, tetapi apabila disahkan sakit buah pinggang tahap akhir, saya mula sedar kesilapan saya,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Henti Dialisis Lepas Kena Jangkitan Kuman, Nekad Berubah Demi Kesihatan
Tambah Idzwan lagi, pada tahun 2023, dia telah menjalani enam sesi dialisis namun sesi itu terpaksa dihentikan gara-gara mengalami jangkitan kuman akibat parut gout pada tangan dan badan.
Bermula daripada itu, pemuda ini nekad untuk berubah demi memulihkan buah pinggang dengan cara mengawal pemakanan, melakukan rawatan alternatif antaranya seperti bekam dan sauna.
“Saya mula makan lebih banyak sayur-sayuran seperti bayam dan timun, mengelakkan protein haiwan dan produk tenusu, serta menggantikan gula dengan madu.
“Saya juga berhenti mengambil sebarang makanan berproses seperti nuget dan makanan segera lain,” jelasnya.
Berat Badan Kini Cecah 55 Kilogram, Tidak Lagi Bergantung Kepada Dialisis
Siapa sangka, usahanya membuahkan hasil apabila berat badan Idzwan kini mencecah 55 kg hanya dalam tempoh enam bulan.
Malah, buah pinggangnya beransur pulih hingga menyebabkan dia kini tidak bergantung kepada rawatan dialisis.
“Sebelum ini saya sering letih, muka dan kaki bengkak serta tidak boleh kencing selama empat bulan.
“Sekarang, saya boleh bergerak aktif dan tidak lagi mengalami simptom teruk,” katanya.
Pun begitu, dia masih berdepan dengan cabaran kesihatan yang lain termasuklah bakal menjalani pembedahan tulang belakang dek kerana besi yang dipasang dalam badannya hampir terkeluar.
Walau bagaimanapun, itu tidak mematahkan semangat Idzwan yang berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Saya mungkin tak boleh makan seperti dulu, tapi saya masih ada nikmat lain untuk disyukuri dan akan teruskan perjuangan untuk hidup lebih sihat,” katanya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Kerap Makan Sosej & Nuget, Pelajar Darjah 2 Buta & Hilang Penglihatan
Baca Artikel Berkaitan: Kos Sara Hidup Tinggi Antara Punca Ibu Bapa Pilih Makanan Murah & Tidak Bernutrisi Sebabkan Tumbesaran Terbantut
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Kongsi Sayur Terbaik Untuk Buah Pinggang Yang Rosak [Video]
Source:
