Pemuda MCA hormat keputusan Kim Soon, percaya peluang tarik bakat baharu

LocalPolitics
26 Mar 2025 • 11:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Neow Choo Seong

SHAH ALAM – Keputusan bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon, keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menjejaskan MCA, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut adalah hak demokrasi mana-mana individu, dan MCA melihatnya sebagai peluang untuk memperkukuh jati diri serta menarik bakat baharu.

"Saya menghormati keputusan Datuk Leong Kim Soon dan mana-mana bekas ahli MCA yang menyertai Bersatu atau melompat ke mana-mana parti sekalipun.

"Walaupun ada yang memilih jalan lain, saya tetap yakin dengan ahli-ahli setia yang masih komited dengan perjuangan MCA," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Kim Soon mengumumkan keluar MCA serta-merta dan menyertai Bersatu. Beliau kini dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Bentong dan Pahang.

Dalam satu majlis di Bentong, Pahang, borang penyertaan Kim Soon bersama kira-kira 100 lagi bekas ahli MCA telah diserahkan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut Choo Seong, Pemuda MCA komited untuk melakukan transformasi menyeluruh, merangkumi kepimpinan muda, pendekatan digital dan dasar progresif.

Beliau turut mengalu-alukan individu yang ingin menyertai MCA sebagai wadah perjuangan untuk keharmonian kaum, pendidikan berkualiti, dan ekonomi inklusif.

"Pintu MCA sentiasa terbuka. Kami mengalu-alukan pemimpin muda, profesional, dan aktivis komuniti yang ingin membawa perubahan nyata, bukan sekadar retorik," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved