
Pemuda ‘Menyesal’ Buat Ujian Simulasi Sakit Bersalin
Beberapa video tular di media sosial sebelum ini menunjukkan pemuda menggunakan alat khas pada perut mereka untuk merasai sendiri kesakitan yang dialami wanita ketika haid.
Trend ini pada mulanya dianggap sebagai hiburan dan bahan jenaka, terutama apabila melihat reaksi pemuda yang menanggung kesakitan akibat alat tersebut.
Walaupun ia mungkin dilakukan sekadar ‘suka-suka’, ramai yang tidak menyedari kesan sebenar penggunaannya.
Lebih mengejutkan, di Wilayah Henan, China, seorang pemuda dipaksa oleh tunangnya untuk menjalani ujian simulasi sakit bersalin.
Tidak diketahui mengapa pemuda itu bersetuju, namun dia jelas tidak menjangka akibat buruk yang bakal menimpanya.
Bahkan, pengalaman ngeri tersebut bukan sahaja menyebabkan dia mengalami kecederaan serius.
Malah, dia mengambil keputusan untuk membatalkan pertunangan dan menyaman bekas tunangnya.
Guna alat rangsangan elektrik khas lebih 3 jam di bahagian perut
Wanita berkenaan berkongsi kisah ini di platform media sosial China, REDnote, mendedahkan bahawa idea tersebut datang daripada ibu dan kakaknya.
Mereka mencadangkan agar pemuda itu merasai sendiri kesakitan bersalin supaya dia lebih memahami keperitan yang bakal dialami isterinya kelak.
Pada mulanya, pemuda itu menolak cadangan tersebut, namun selepas dipujuk berulang kali, dia akhirnya bersetuju.
Ujian tersebut dijalankan di sebuah pusat penjagaan ibu bersalin yang diuruskan oleh kakak wanita berkenaan.
Menggunakan alat rangsangan elektrik khas yang direka untuk mensimulasikan sakit bersalin, wanita itu meningkatkan intensiti arus secara berperingkat selama 90 minit pertama.
Kemudian, dia menaikkan kuasa ke tahap maksimum selama 90 minit lagi.
Menurut pengakuannya di REDnote, wanita itu berkata bahawa tunangnya mula merasa tidak selesa pada tahap 8 dan mula mencarut pada tahap 10.
Pada tahap 12, pemuda itu berpeluh dan mengalami masalah pernafasan.
Menjelang akhir sesi, pemuda itu keletihan sepenuhnya, manakala perutnya menjadi keras seperti papan.
Selepas kejadian, pemuda itu mengalami sakit perut yang teruk dan muntah beberapa kali.
Pada keesokan harinya, keadaannya kelihatan stabil, namun tidak lama kemudian dia mengalami kesakitan yang lebih serius sehingga memerlukan rawatan kecemasan.
Doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa dia mengalami nekrosis usus dan perlu menjalani pembedahan kecemasan dengan kadar segera.
Pertunangan dibatalkan & tindakan undang-undang
Keluarga lelaki itu berang apabila mengetahui apa yang telah berlaku.
Mereka melarang wanita tersebut daripada melawat mangsa di hospital dan memutuskan bahawa pertunangan dibatalkan.
Selain itu, mereka juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil.
Menurut pakar undang-undang di China, jika lelaki itu atau keluarganya membuat aduan rasmi, wanita tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa.
Sumber: Oddity Central
The post Pemuda ‘Menyesal’ Buat Ujian Simulasi Sakit Bersalin appeared first on Siakap Keli.
