Pemuda Pas cadang Ab Halim terajui PN Selangor

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 12:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pemuda Pas Selangor mencadangkan Ab Halim sebagai Pengerusi PN negeri itu.

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mencadangkan Yang Dipertua Pas Negeri, Datuk Dr Ab Halim Tamuri diberi kepercayaan untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Ketua Pemudanya, Mohamed Sukri Omar berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan penilaian terhadap kewibawaan, integriti serta pengalaman kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu dalam bidang akademik, masyarakat dan politik.

Menurutnya, Ab Halim yang juga seorang profesor dalam bidang pendidikan Islam memiliki latar belakang akademik kukuh selain dikenali sebagai tokoh ilmuwan membina perjalanan hidup berteraskan ilmu, akhlak dan nilai Islam.

"Beliau bukan sahaja membawa kekuatan pemikiran mendalam, malah menampilkan kepimpinan yang sederhana, berprinsip dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohamed Sukri berkata, dalam suasana politik yang sering diuji pelbagai cabaran, kepimpinan berteraskan akhlak, kejujuran dan kesederhanaan adalah nilai yang amat penting.

Katanya, Ab Halim memperlihatkan ciri kepimpinan itu apabila lebih menonjolkan pendekatan tenang, bijaksana dan berwibawa berbanding retorik politik.

Tambahnya, pengalaman Ab Halim sebagai pemimpin Pas Selangor dan peranan sebagai ADUN memberi kefahaman mendalam mengenai realiti politik dan masyarakat di negeri itu.

"Selangor memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan kekuatan pelbagai pihak dalam PN dengan pendekatan matang dan berhemah," katanya.

Beliau berkata, kepimpinan masa depan negeri itu juga perlu digerakkan oleh tokoh yang mempunyai imej bersih dan dihormati pelbagai lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Pas Selangor dengan penuh keyakinan mencadangkan Ab Halim dipertimbangkan sebagai Pengerusi PN Selangor bagi memperkukuh gabungan berkenaan.

"Kami yakin PN Selangor dapat diperkasakan sebagai gabungan politik yang lebih tersusun, berprinsip serta diyakini rakyat," jelas beliau.