Pemuda Pas desak batalkan penganjuran Thai Hot Guy

21 Mar 2023 • 8:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pemuda Pas mendesak agar penganjuran Thai Hot Guy di Kuala Lumpur dibatalkan.

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari membantah dan mendesak agar penganjuran program 'Thai Hot Guy' pada 30 Mac depan dibatalkan.

Ahmad Fadhli menyifatkan tiada keperluan mengadakan program sedemikian terutamanya pada bulan Ramadan.

"Tiada keperluan program seperti ini diberikan kebenaran untuk beroperasi ditambah pula pada bulan Ramadan yang mulia," katanya di Facebook pada Selasa.

Ahmad Fadhli turut mengajak orang ramai untuk sama-sama menyuarakan bantahan agar program itu tidak diadakan pada bulan suci Ramadan.

"Tolonglah, hentikan. Suarakan bantahan beramai-ramai," ujarnya.

Pada Isnin, sebuah akaun Facebook bernama KL NOW memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.