IPOH – Pemuda Pas Perak menamakan lima pemimpin parti itu yang dilihat berpotensi untuk diangkat sebagai calon Menteri Besar (MB) Perak jika Pas memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengarah Strateginya, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, barisan tokoh berkenaan terdiri daripada pemimpin berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan selain mempunyai pengaruh tersendiri di peringkat akar umbi.
Menurutnya, antara nama disebut ialah Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas serta Ahli Parlimen Bagan Serai.
"Beliau mempunyai pengalaman sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun 2021 selain dikenali sebagai tokoh agamawan dan penulis.
"Sekiranya diletakkan bertanding di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri), beliau dilihat antara calon pilihan utama untuk mengetuai kerajaan negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Nurhafizul berkata, selain itu Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria turut disenaraikan sebagai calon berpotensi berdasarkan pengalaman sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri serta latar belakang kerjaya dalam Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Jelasnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu mempunyai pengaruh besar di tempat kelahirannya di Lenggong.
"Ada melihat beliau tokoh kontroversi namun kelantangan YB Pak Teh (Razman) sesuatu yang ditakuti oleh lawan politik khususnya DAP," katanya.
Menurutnya, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin juga tidak terkecuali untuk menjadi pilihan sebagai Menteri Besar Perak apabila berjaya mengekalkan kemenangan kerusi itu dengan majoriti lebih besar pada PRU15.
Katanya, gaya kepimpinan mesra rakyat serta pengalaman sebagai exco kerajaan negeri sebelum ini menjadikan Timbalan Pesuruhjaya Perak itu antara tokoh yang dekat dengan masyarakat.
Nurhafizul turut menamakan ADUN Kamunting, Mohd Fakhrudin Abdul Aziz yang kini Setiausaha Pas Perak dan sering mendapat maklum balas positif termasuk daripada pihak lawan.
Menurutnya, komitmen Mohd Fakhrudin dalam menyelesaikan isu rakyat di kawasan diwakili menjadikan beliau antara pemimpin yang menonjol di peringkat negeri.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan nama ADUN Manjoi yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Hafez Sabri turut dilihat sebagai wakil generasi muda yang berpotensi diketengahkan sebagai calon MB.
"Semua mengenali beliau sebagai tokoh masyarakat yang rajin turun padang membantu rakyat.
"Maka tak pelik jika beliau mampu menang bergaya dengan majoriti hampir 7,000 undi pada PRU15 yang lalu walaupun tewas lebih 10 ribu undi pada PRU14 sebelumnya," katanya.
Nurhafizul menambah, Pas Perak mempunyai barisan kepimpinan berwibawa dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab mentadbir negeri sekiranya diberi mandat pada PRU16.
