
KUALA LUMPUR - Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memberi amaran tegas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh supaya tidak menjadikan Kuala Lumpur sebagai makmal eksperimen politik dengan cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ketua pemudanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, kestabilan bandar tidak sepatutnya digadaikan demi tuntutan ideologi tertentu dan tidak menguji kesabaran rakyat bandar yang sedang bergelut dengan kos sara hidup, perumahan dan keselamatan.
“PAS Wilayah Persekutuan tidak akan berdiam diri sekiranya langkah ini diteruskan tanpa konsensus nasional, perlindungan perlembagaan dan jaminan keadilan sosial sebenar.
“Kami menegaskan cadangan ini bukan isu pentadbiran semata-mata, sebaliknya menyentuh teras Perlembagaan Persekutuan, struktur kuasa Persekutuan–Wilayah, keseimbangan demografi bandar, serta prinsip keadilan sosial.
“Sekiranya dilaksanakan secara tergesa-gesa atau bermotif politik, ia bakal mencetuskan krisis tadbir urus bandar paling besar sejak Kuala Lumpur diisytihar Wilayah Persekutuan pada tahun 1974,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Hannah Yeoh yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP, memaklumkan kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT.
Kajian dijalankan sejak Disember lalu selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Bagaimanapun cadangan untuk mengadakan pilihan raya PBT itu mendapat tentangan daripada Umno dan PAS.
Antara yang membantah ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang membangkitkan kebimbangan mengenai risiko pengaruh kartel dan 'gengster' sekiranya pilihan raya untuk jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur diadakan.
Sementara Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pula berikrar untuk menggagalkan cadangan tersebut.
Mengulas lanjut, Azmer berkata, pelantikan Datuk Bandar oleh Kerajaan Persekutuan adalah sengaja direka bagi menjamin kepentingan nasional, mengelakkan dominasi politik lokal sempit dan memastikan fungsi Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang dilindungi.
“Memilih Datuk Bandar melalui pilihan raya tanpa rombakan menyeluruh kerangka perlembagaan adalah penyederhanaan berbahaya terhadap struktur Persekutuan.
“Jika Datuk Bandar dipilih secara langsung, ia akan memiliki legitimasi politik lebih kuat berbanding Ahli Parlimen, berpotensi mengabaikan nasihat wakil rakyat dan menjadi “political strongman” bandar tanpa mekanisme pemecahan kuasa,’’ katanya.
Keadaan ini, katanya adalah lebih berbahaya daripada sistem lantikan sedia ada yang tertakluk kepada kawalan Kabinet dan Parlimen.
Beliau memberitahu, komuniti Melayu bandar, penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan kelompok rentan akan terpinggir secara sistemik dalam proses pemilihan Datuk Bandar. - 3 Februari, 2026
The post Pemuda PAS Wilayah bagi amaran tegas pada menteri, ‘jangan jadikan KL eksperimen politik’ appeared first on Scoop.
