
KUALA LUMPUR - Kurang 24 jam, wang seorang pemuda berjumlah RM12,783.74 yang lesap dalam akaun miliknya sebagaimana tular di media sosial berjaya diperolehi semula.
Menurut pengguna Facebook, Ummar Agrofarm Selangor, duitnya sudah dikembalikan ke dalam akaun banknya petang semalam.
“Alhamdulillah, hari ini terima call daripada pihak Maybank. Duit saya sudah di kembalikan ke akaun saya oleh pihak bank.
“Terima kasih kepada Maybank dan semua yang banyak membantu. Tak sampai 24 jam isu ini selesai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pemuda tersebut mendedahkan kejadian itu berlaku disebabkan kad debit miliknya diklon sindiket penipuan di luar negara.
“Tak selamat guna kad debit di luar negara, mereka boleh ambil duit kita bila-bila je mereka nak sebab dah klon kad kita.
“Europe memang banyak kes klon kad debit dan kredit. Pakai big pay je lagi selamat,” katanya.
Susulan itu, pemuda tersebut berkata, dia akan menutup akaun bank miliknya itu kerana merasakan ia tidak lagi selamat untuk digunakan.
“Mohon maaf pada semua pihak atas segala kesulitan yang berlaku. Peringatan untuk semua, kalau pernah guna kad debit di luar negara, pastikan kita tukar kad bila balik sini.
“Ia sebagai langkah keselamatan. Mungkin ini silap saya sendiri kerana abaikan perkara ini. Kalau tak tukar kad, kebarangkalian besar kad kita boleh diklon dan digunakan pihak lain di luar negara,” katanya.
Pada masa sama, pemuda itu turut menasihati mereka yang senasib dengannya agar terus melaporkan kepada pihak bank supaya tindakan awal dapat diambil.
“Sentiasa pantau akaun kita, sekiranya ada pengeluaran mencurigakan, terus laporkan ke bank. Terima kasih semua,” katanya.
Terdahulu, mangsa mendedahkan wang miliknya lesap menerusi transaksi sekali sahaja yang mencurigakan.
Jelasnya, pihak bank memberitahu transaksi menerusi kad debit itu dilakukan pada jam 4 pagi (semalam) dari Eropah.
“Limit saya untuk kad debit hanya RM5,000 je. Macam mana boleh buat bayaran RM12,000 sekali transaksi?
“Kenapa saya tak terima apa-apa notifikasi sedangkan, kalau saya beli tiket wayang pakai kad debit pun biasanya dapat notifikasi,” katanya.
Perkongsiannya itu mendapat perhatian netizen dengan ramai menyifatkannya bernasib baik kerana isu tersebut tular di media sosial.
“Alhamdulillah. Memang nak kena viralkan baru mereka bertindak cepat. Ada hasil gak netizen viralkn posting tuan,” kata Liza.
“Uih amazing bang, hasil viral dapat duit terus. Ada seorang doktor yang famous tu pun tak dapat duit balik. Tapi CIMB lah dia,” kata Amar.
“Jarang-jarang berlaku duit dapat balik. Alhamdulilah bang masih ada rezeki,” Mohd Khairil. - Getaran, 31 Ogos 2022
