Pemuda UMNO ajak rakyat berhimpun di masjid Sabtu ini

LocalPolitics
14 Sep 2023 • 12:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Muhammad Akmal

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Islam untuk berhimpun di masjid seluruh negara pada Sabtu ini.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia bagi majlis bacaan Yasin dan solat hajat pada jam 9 malam agar negara sentiasa diberikan rahmat ALLAH SWT.

“Jom kita berhimpun Sabtu ini. Bukan di depan Sogo, tetapi di masjid-masjid seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard menyatakan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan pada 16 September ini di tengah bandar raya Kuala Lumpur akan diteruskan.

Beliau menjelaskan tidak ada sebarang permasalahan berhubung penganjuran itu kerana perkara itu telah mendapat pemakluman pihak polis.

Beliau yang juga aktivis politik berkata, aspek keselamatan pastinya akan diberi keutamaan oleh pihak penganjur bagi memastikan ia berlangsung dengan aman.