Pemuda UMNO anjur konvensyen khas, buka ruang ahli suarakan hala tuju parti

LocalPolitics
28 Dec 2025 • 8:22 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Pusat akan menganjurkan Konvensyen Khas Pemuda UMNO bagi memberi peluang kepada ahli-ahli parti menyuarakan pendirian serta isi hati berhubung hala tuju UMNO dan Barisan Nasional dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, konvensyen berkenaan dijadualkan berlangsung pada 3 Januari 2026 (Sabtu) bertempat di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Menurut beliau, penganjuran konvensyen itu penting bagi membolehkan ahli-ahli UMNO menyatakan secara terbuka sama ada parti itu wajar terus kekal bersama kerajaan sedia ada atau mengambil keputusan sebaliknya.

“Saya ingin menjemput semua yang masih sayangkan perjuangan UMNO dan berani menyuarakan isi hati untuk hadir ke Konvensyen Khas Pemuda UMNO pada 3 Januari 2026 di WTC, Kuala Lumpur.

“Parti ini milik kita semua. Kita bukan sekadar bercakap, tetapi kita buat apa yang kita cakap. Sama ada kekal atau keluar, kita yang menentukannya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dr. Muhamad Akmal turut mengajak seluruh kepimpinan UMNO agar hadir bagi mendengar sendiri suara serta kehendak ahli akar umbi yang disifatkan sebagai nadi kekuatan parti.

Beliau berkata, sebarang keputusan dan resolusi yang dicapai dalam konvensyen berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk pertimbangan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Muhamad Akmal turut merakamkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Selangordan UMNO Bahagian Puchong yang memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong.

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat susulan rasa tidak puas hati ahli-ahli UMNO terhadap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang didakwa masih belum memohon maaf berhubung kenyataannya berkaitan keputusan mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kenyataan berkenaan disifatkan telah menggores perasaan ahli-ahli UMNO, sekali gus mencetuskan reaksi tegas daripada peringkat akar umbi parti.