Pemuda UMNO Perlu Jadi Jurubicara Rakyat, Dampingi Anak Muda

Politics
12 Mar 2023 • 5:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dari kiri Mohd Hairi Mad Shah, Asyraf Wajdi dan Dr Muhamad Akmal Saleh bergambar bersama-sama di kediamannya di sini, hari ini. - Gambar dari Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR - Kepimpinan baharu Pemuda UMNO diharap dapat terus menjadi jurubicara rakyat yang efektif, dan menggerakkan agenda mendampingi pelbagai kelompok anak muda demi kelangsungan perjuangan parti.

Mantan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam pesanan kepada saf kepimpinan baharu sayap tersebut berkata, mereka juga perlu menjaga hubungan dengan Allah SWT .

“Amanah perjuangan ini amat berat, mencabar dan penuh berliku; dan pastinya mendambakan pertolongan-Nya. 

"Antara amalan asas untuk memastikan perjuangan sentiasa dalam peliharaan dan dipermudahkan Allah, selain daripada yang wajib diamalkan setiap hari termasuklah solat tahajud, membaca Al-Quran dan zikir khusus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan kepimpinan baharu Pemuda UMNO termasuk ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh; naib ketua, Mohd Hairi Mad Shah beserta beberapa Exco yang baru dipilih.

Pada pertemuan di kediamannya itu, Asyraf Wajdi turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas kemenangan mereka pada pemilihan parti baru-baru ini.

"Moga-moga Allah memelihara dan mempermudahkan seluruh barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baharu dalam meneruskan agenda besar perjuangan UMNO hari ini," katanya lagi. 

Pemilihan UMNO yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan Muhamad Akmal, 34, meraih majoriti besar iaitu sebanyak 105 undian setakat lewat malam tadi.- Getaran, 12 Mac 2023