Pemulihan segmen perkayuan diramal lonjak hasil Ta Ann pada 2HFY25 - penganalisis

27/08/2025 - 09:32
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Ta Ann Holdings Berhad berpotensi mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25), disokong peningkatan pengeluaran serta pemulihan dalam segmen perkayuan, meskipun berdepan tekanan daripada penurunan harga minyak sawit mentah (MSM), menurut penganalisis.
RHB Research berkata, kumpulan itu mencatatkan peningkatan 12% dari suku ke suku dari segi keuntungan teras pada 2QFY25, menjadikan jumlah keuntungan bagi 1HFY25 sebanyak RM85.4 juta — meningkat 40% berbanding tahun lalu.
Ia mewakili 48% dan 46% daripada unjuran penuh tahun oleh penganalisis dan pasaran.
"Peningkatan ini dipacu oleh kenaikan 3% tahun ke tahun dalam hasil buah tandan segar (BTS) dan purata harga MSM yang lebih tinggi sebanyak 12%.
"Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen, menjadikan jumlah dividen 1HFY25 kepada 20 sen dengan kadar bayaran sebanyak 92%," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran kayu balak melonjak 52% suku ke suku pada 2QFY25, sekali gus mengurangkan kerugian dalam segmen ini.
Walaupun pengeluaran kumulatif tahun ini masih menurun 6% berbanding tahun lalu, ia dijangka mencatatkan pemulihan secara berperingkat, terutamanya disokong oleh pasaran papan lapis Jepun yang semakin pulih.
"Kami mengekalkan penarafan "neutral" dengan harga sasaran (TP) harga sasaran RM3.65 sesaham," katanya.
Sementara itu, CGS International mengekalkan unjuran pendapatan Ta Ann pada FY25 didorong pengeluaran MSM yang lebih kukuh pada 2HFY25.
Selain itu, firma penyelidikan itu menjangkakan segmen perkayuan akan terus mencatatkan peningkatan dalam 2HFY25 disokong oleh volum jualan yang lebih tinggi selaras dengan pemulihan permintaan dari Jepun.
"Pengeluaran BTS kumpulan susut sebanyak 4% dari tahun ke tahun bagi tempoh tujuh bulan 2025 (7M25), namun pengeluaran MSM meningkat sebanyak 6% tahun ke tahun, yang kami percaya didorong oleh peningkatan pembelian FFB daripada pihak luar.
"Kami mengekalkan saranan "tambah" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM6.10 sesaham," katanya.- DagangNews.com
standard
