Penahanan dua pegawai Imigresen di Dhaka hasil perkongsian maklumat strategik SPRM, Imigresen

LocalPolitics
21 Apr 2023 • 5:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan dua pegawainya di Pejabat Atase Imigresen di Dhaka, Bangladesh, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Isnin lalu adalah hasil perkongsian maklumat secara strategik antara dua agensi berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata ini susulan pihaknya telah mengesan terdapat dakwaan pegawai berkenaan Dhaka menerima rasuah melibatkan pengeluaran visa luar negara kepada rakyat negara tersebut untuk memasuki Malaysia.

“Jabatan Imigresen kemudiannya telah mengarahkan kedua-dua mereka kembali ke Malaysia untuk membantu siasatan. Hasil maklumat tersebut telah disalurkan kepada SPRM untuk tindakan dan siasatan sehingga membawa kepada penahanan dua pegawai tersebut,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan diserahkan sepenuhnya kepada SPRM dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

Ruslin berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan imej jabatan dan menggugat keselamatan serta kedaulatan negara dan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang terbukti melakukan kesalahan berkenaan.

Kerjasama strategik bersama SPRM juga akan diteruskan bagi memastikan jabatan itu sentiasa telus dalam menangani sebarang unsur rasuah serta amalan tidak berintegriti, katanya.

Semalam, media melaporkan dua pegawai agensi penguat kuasa itu ditahan pada 17 April lepas sebaik hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan direman tiga hari bermula 18 April.

Menurut sumber, penahanan dua pegawai itu berikutan SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua individu berkenaan dan mereka telah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa tangkapan lain akan dibuat selepas ini. -Bernama