Penahanan Maduro Langgar Perundangan Antarabangsa, Cabuli Hak Negara Berdaulat - Anwar

WorldPolitics
4 Jan 2026 • 4:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya oleh Amerika Syarikat (AS) jelas satu perlanggaran terhadap perundangan antarabangsa.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan berkenaan boleh dianggap sebagai penggunaan kekerasan yang menyalahi undang-undang terhadap sebuah negara berdaulat.

Menyifatkan operasi berkenaan sebagai luar biasa, Perdana Menteri berkata, beliau mengikuti perkembangan di Venezuela itu dengan penuh kebimbangan.

“Presiden Maduro dan isterinya mesti dibebaskan tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar. 

“Apa pun alasannya, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui campur tangan pihak luar adalah satu keputusan yang berbahaya,” katanya.

Anwar menyatakan demikian sebagai mengulas penangkapan Maduro oleh AS.

Operasi ketenteraan berkenaan disahkan Presiden AS, Donald Trump yang memberitahu, Maduro dan isterinya telah dibawa keluar dari AS.

Sebagai info, AS tidak pernah mengambil tindakan seumpama itu di mana-mana negara Amerika Latin, selepas pencerobohan ke atas Panama pada 1989 bagi menggulingkan pemimpin tentera, Manuel Noriega.

Mengulas lanjut Anwar berkata, penangkapan Maduro menghakis sekatan asas terhadap penggunaan kuasa antara negara-negara dan melemahkan kerangka perundangan yang menjadi tunjang kepada ketertiban antarabangsa.

“Adalah menjadi hak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri. 

“Seperti yang telah ditunjukkan oleh sejarah, perubahan kepimpinan secara mendadak akibat penggunaan kekerasan dari luar akan membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat, apatah lagi di sebuah negara yang sedia berdepan dengan kesukaran ekonomi berpanjangan dan tekanan sosial yang mendalam,” katanya.

Malaysia tegas beliau, memandang tinggi penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sebagai asas utama kepada hubungan aman antara negara-negara. 

“Pendekatan yang bersifat konstruktif, dialog serta usaha meredakan ketegangan kekal sebagai jalan paling berwibawa ke arah penyelesaian yang melindungi orang awam.

“Ia membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa menanggung kemudaratan selanjutnya,” katanya. - Getaran, 4 Januari 2026