Penahanan pimpinan NGO Mandiri, jangan jadikan kritikan sebagai kesalahan- ADUN Semambu

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 1:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penahanan pimpinan NGO Mandiri, jangan jadikan kritikan sebagai kesalahan- ADUN Semambu
Laporan Sinar Harian dan Chan Chun Kuang (kanan)

KUANTAN - Pihak berkuasa perlu segera menjelaskan hasil siasatan dan mengemukakan bukti berkaitan susulan penahanan dua pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri kepada umum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, walaupun polis mempunyai hak dan tanggungjawab menjalankan siasatan, tindakan itu tidak boleh bertukar menjadi intimidasi terhadap aktivis, NGO atau mana-mana pihak hanya kerana mereka bersuara, mengkritik atau mempersoalkan kerajaan.

Menurutnya, negara ini memerlukan masyarakat sivil yang berani bersuara, menuntut ketelusan dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa.

"Mereka mengkritik kerajaan, membangkitkan isu kepentingan awam dan menuntut akauntabiliti maka peranan sebegini tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman tetapi sebahagian mekanisme semak dan imbang dalam sebuah demokrasi.

"Jika setiap kritikan terhadap pihak berkuasa akhirnya membawa kepada siasatan atau penahanan, tindakan itu hanya akan mewujudkan budaya takut bersuara dalam kalangan anak muda," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi dan Pengarah Kewangannya, Dobby Chew ditahan polis pada Selasa bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kedua-duanya ditahan selepas hadir di pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini.

Susulan itu, Chun Kuang mengingatkan kerajaan hari ini supaya tidak mengulangi budaya pemerintahan yang pernah ditentang ketika menjadi pembangkang dahulu.

"Ketika berada di luar kerajaan, kita sendiri pernah memperjuangkan kebebasan bersuara, hak berhimpun, kebebasan masyarakat sivil dan hak rakyat untuk mempersoalkan kerajaan.

"Prinsip demokrasi itu tidak sepatutnya berubah atau bergantung kepada siapa yang sedang memegang kuasa," ujarnya.

Beliau berkata, NGO itu terlibat dalam aktivisme berkaitan kepentingan awam namun pimpinan mereka dikenakan tindakan penguatkuasaan.

"Mandiri juga bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan sebelum ini telah hadir sendiri umendapatkan penjelasan mengenai asas siasatan.

"Justeru itu, pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab memastikan tidak berlaku persepsi bahawa institusi negara digunakan untuk menghukum atau menakutkan pihak yang mengkritik kerajaan malah persoalan ini perlu dijawab berdasarkan fakta dan bukti, bukannya dibiarkan menjadi tanda tanya kepada masyarakat," ujarnya.

Menurutnya, Malaysia yang lebih baik memerlukan kerajaan yang kuat dan pada masa yang sama memerlukan masyarakat sivil yang bebas untuk menegur kerajaan.

"Kita mahu sebuah negara yang undang-undangnya ditegakkan tanpa pilih kasih, bukan untuk menakutkan mereka yang bersuara," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved