Penang, Langkawi Kerjasama Tingkatkan Daya Saing Sektor Pelancongan Negara

20 Jun 2022 • 8:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Langkawi SkyBridge - Gambar Unsplash

Kerajaan Pulau Pinang dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) akan bergabung tenaga dalam usaha meningkatkan daya saing sektor pelancongan dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan di rantau ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PETACE) Yeoh Soon Hin berkata Pulau Pinang dan Langkawi merupakan antara kawasan tumpuan pelancongan popular dengan Pulau Mutiara mempunyai banyak tempat warisan budaya manakala Langkawi menawarkan keindahan alam semula jadi dan aktiviti pantai.

image is not available
Bukit Bendera, Pulau Pinang - Gambar Unsplash

“Jika kita bekerjasama dengan negeri lain dan menarik pelancong untuk melawat destinasi Malaysia yang lain, kita akan melihat perbelanjaan pengembara dikekalkan di Malaysia, sekali gus membantu memberi kesan ekonomi kepada ekosistem pelancongan kita dan komuniti tempatan.

“Orang ramai sentiasa melihat Pulau Pinang dan Langkawi sebagai pesaing sedangkan hakikatnya kita adalah gandingan sempurna yang saling melengkapi untuk membuat pakej lengkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara kerajaan Pulau Pinang, yang diwakili Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib dengan disaksikan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Yeoh berkata Pulau Pinang dan LADA pada dasarnya telah bersetuju menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi promosi silang khususnya lokasi yang disenaraikan UNESCO iaitu Geopark Global UNESCO Langkawi dan tapak rizab biosfera UNESCO di Bukit Bendera. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved