Penangguhan tarif pacu peningkatan dagangan, pembuatan - CIMB Securities

21/04/2025 - 12:59
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 21 April — Aktiviti berkaitan pengagihan atau peruntukan seperti kos dijangka menyokong industri perdagangan dan pembuatan dalam tempoh terdekat ketika tempoh penangguhan sementara tarif Amerika Syarikat (AS), kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah penangguhan tarif timbal balik itu selama 90 hari dijangka mampu menawarkan pkelegaan sementara bagi negara-negara yang dilihat tidak mahu bertindak balas ke atas AS seperti Malaysia.
Sepanjang tempoh ini katanya, kegiatan perdagangan diterajui eksport barang perkilangan, mungkin dirangsang aktiviti penghantaran yang dipercepatkan sementara rundingan perdagangan dengan AS pula sedang dilaksanakan.
“Bagaimanapun, prospek pertumbuhan Malaysia diselubungi isu halangan global seperti ketidaktentuan dasar perdagangan AS dan ketegangan perdagangan AS dengan China yang semakin meningkat," kata CIMB Securities dalam nota kajian.
Momentum pertumbuhan Malaysia tambah firma berkenaan, kemungkinan hilang apabila situasi perdagangan antarabangsa yang tidak menentu menghalang kegiatan perbelanjaan modal dan rancangan pengambilan pekerja oleh pihak industri.
Justeru ia mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh untuk Malaysia pada empat peratus, yang mencerminkan risiko kelemahan permintaan luar dan kesan buruk kepada perkembangan ekonomi domestik.
Pada masa sama, CIMB Investment mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Julai, menjadikan kadar akhir 2025 kepada 2.75 peratus, dalam usaha menjana permintaan domestik.
Ia berkata, anggaran awal menunjukkan pertumbuhan KDNK kemungkinan susut lebih daripada jangkaan kepada sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada suku pertama 2025 (1Q25) berbanding 5.0 peratus dicatatkan pada 4Q24.
Angka tersebut adalah rendah sekikit daripada ramalannya sebelum ini iaitu sebanyak 4.5 peratus manakala konsensus Bloomberg pula ialah 4.8 peratus.
"Secara berurutan, ekonomi Malaysia diramal jatuh kepada 3.7 peratus suku ke suku (q-o-q), lebih daripada purata penurunan 1Q sebanyak 3.4 peratus q-o-q dalam tempoh tiga tahun lalu (1Q2022–1Q2024)," kata CIMB Investment.
Firma itu namun menyatakan bahawa terdapat potensi untuk semakan menaik kepada bacaan KDNK 1Q2025 yang didorong oleh lonjakan eksport tidak dijangka pada Mac sebanyak 6.8 peratus y-o-y, berbanding Februari iaitu 6.2 peratus y-o-y. - DagangNews.com
standard

