
KUALA LUMPUR - Peminat bola sepak tempatan berpeluang menikmati siaran penuh kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV.
Ia susulan kerjasama strategik antara RTM dengan tiga syarikat telekomunikasi utama negara, iaitu Unifi, CelcomDigi dan U Mobile.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja memperluaskan akses rakyat kepada kandungan sukan bertaraf dunia, malah mengukuhkan peranan penyiaran awam dalam menyediakan kandungan berkualiti tanpa sebarang kos tambahan kepada penonton.
“Terdahulu, RTM selaku penyiar awam di bawah Kementerian Komunikasi telah mengumumkan kerjasama strategik bersama tiga syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Unifi, CelcomDigi dan U Mobile.
“Hari ini, saya sukacita mengumumkan bahawa kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 akan disiarkan menerusi RTM dan Unifi TV. Ini bermakna kedua-dua platform akan menayangkan sepenuhnya semua perlawanan kejohanan tersebut,” katanya pada sidang media mingguan di RTM, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperluaskan akses rakyat kepada kandungan berkualiti, selain menjadikan sukan sebagai medium penyatuan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pengarah RTM, Ashwad Ismail berkata, penglibatan penaja korporat berjaya membantu kerajaan mengurangkan kos bagi mendapatkan hak penyiaran kejohanan berprestij berkenaan.
“Ini merupakan hasil kerjasama strategik pelbagai pihak, khususnya melibatkan penaja korporat, sekali gus membolehkan RTM memperoleh hak penyiaran dengan perbelanjaan minimum,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI memaklumkan, siaran Piala Dunia FIFA 2026 boleh diakses menerusi pelbagai platform termasuk siaran percuma MyTV, selain penstriman over-the-top (OTT) melalui RTM Klik dan Unifi TV bagi memastikan capaian yang lebih menyeluruh kepada rakyat.
Beliau memberitahu, Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung, manakala RTM akan menayangkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau siaran tertunda mengikut jadual yang ditetapkan.
Piala Dunia FIFA 2026 bakal menyaksikan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada menjadi tuan rumah bersama, dengan perlawanan pembukaan dijadual berlangsung di Mexico City pada 11 Jun 2026.
Aksi final temasya berprestij itu pula akan berlangsung di New Jersey pada 19 Julai 2026. - Getaran, 13 Mei 2026

![Piala Dunia 2026 [LIVE] RTM Klik, Jadual Perlawanan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://ecentral.my/wp-content/uploads/2023/03/fifa-world-cup-format-856x1024.jpg)



