
Kota Kinabalu: Penantian seorang graduan farmasi kelahiran Sabah untuk memulakan latihan siswazah farmasi di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) berakhir selepas penempatannya yang sebelum ini ditangguhkan berjaya diselesaikan hasil campur tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Sophie yang dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal sebelum itu menerima tawaran penempatan untuk memulakan Latihan Siswazah Farmasi pada 11 Mei dan percaya segala usaha kerasnya selama ini akhirnya membuahkan hasil.
Gadis yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi di Sydney, Australia dan menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang selepas lima tahun berjauhan daripada keluarga.
Sekembalinya ke tanah air Sophie berhasrat untuk berkhidmat sebagai ahli farmasi.
Bagaimanapun beberapa hari sebelum melapor diri dia dimaklumkan penempatannya ditangguhkan sementara bagi membolehkan pihak berkuasa menilai semula status ketidakupayaannya.
Keputusan itu menyebabkan Sophie berada dalam keadaan tidak menentu.
Sophie berkata dia hanya mahu berkhidmat dan mendapatkan penjelasan berhubung penangguhan yang tidak dijangka itu.
Tidak berputus asa Sophie terbang dari Sabah ke Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan secara bersemuka namun dimaklumkan semua pertanyaan perlu dikendalikan melalui telefon dan gagal memperoleh jawapan yang diharapkan.
Menurutnya apa yang paling mengecewakan bukanlah penangguhan itu sendiri sebaliknya tanggapan seolah-olah keupayaannya dipersoalkan hanya kerana beliau seorang OKU walaupun telah membuktikan kemampuannya.
Sepanjang pengajiannya Sophie membuktikan dia mampu berdikari ketika berada di luar negara, memandu, berkomunikasi dengan baik serta menamatkan pengajian dengan jayanya.
Namun keadaan berubah selepas dia mendapatkan bantuan daripada Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar.
Selepas mendengar penjelasan Sophie, Mustapha membawa sendiri dokumen penempatannya ke Putrajaya dan mengemukakan rayuan supaya kes berkenaan dipercepatkan.
“Saya beritahu dia supaya tidak bimbang. Saya akan pastikan anak Sepanggar tidak akan tercicir,” katanya.
Mustapha turut mengunjungi Kementerian Kesihatan bagi memohon agar kes Sophie diberi perhatian segera.
Usaha itu membuahkan hasil apabila Sophie kemudian menerima pengesahan rasmi penempatannya dan memulakan Latihan Siswazah Farmasi di Kuala Lumpur pada 13 Julai.
Seminggu kemudian pada 20 Julai dia secara rasmi melapor diri sebagai ahli farmasi di sebuah hospital di Kota Kinabalu dengan gaji permulaan kira-kira RM3,500 sebulan.
“Terima kasih YB. Usaha saya akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Sementara itu Mustapha berkata kisah Sophie membuktikan bahawa masa depan seseorang tidak seharusnya ditentukan oleh keterbatasan fizikal, sebaliknya oleh keazaman dan kesungguhan.





