
KUALA LUMPUR – Tindakan Ahmad Dusuki Abd Rani menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membabitkan saman fitnah yang difailkannya sebelum ini secara tidak langsung membuktikan dakwaan aset milik Tabung Haji tidak dijual kepada bukan Islam.
Sebelum ini Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman fitnah yang difailkan Ahmad Dusuki terhadap bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dengan kos RM11,000 manakala Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan terhadap keputusan mahkamah lebih rendah menolaknya dengan kos RM7,000.
Mujahid berkata, tindakan Ahmad Dusuki menarik balik rayuannya itu, membuktikan bekas pemimpin Dewan Ulama PAS itu akhirnya akur bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.
"Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan tersebut, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak PAS sejak sekian lama; khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Mujahid mengesahkan perkara berkenaan selepas Ahmad Dusuki menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini.
Mujahid berkata, Ahmad Dusuki yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan kedua-dua mahkamah berkenaan terus membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Beliau berkata, Mahkamah Sesyen Shah Alam ketika menolak saman difailkan Ahmad Dusuki terhadapnya mengesahkan bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.
Katanya, penghakiman Mahkamah Tinggi ketika menolak rayuan Ahmad Dusuki pula sekali lagi mengesahkan bahawa ciapannya sebelum ini mempunyai justifikasi kerana ia satu tindak balas terhadap kenyataan perayu yang disiarkan di YouYube pada 20 Februari 2020.
Kenyataan itu antara lain menyebut bahawa Tabung Haji telah menjual aset yang terdiri daripada hotel TH iaitu harta orang Islam kepada bukan Islam dan adalah dosa yang kena ditanggung sampai akhirat.
Selain itu, penghakiman sama juga menyatakan ada penjelasan yang dibuat di Parlimen oleh bekas Perdana Menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.
“Kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh Dusuki kepada saya ialah berjumlah RM23,000 iaitu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen, RM7,000 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 di Mahkamah Rayuan.
“Saya bersyukur kerana akhirnya nama saya telah dibersihkan dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada Peguam saya Noorazmir Zakaria daripada Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir.
“Semoga dengan ini, semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu Tabung Haji ini berakhir.,” katanya. – Getaran, 29 Ogos 2023

