Penasihat IJM saran pemegang saham tolak tawaran pengambilalihan Sunway

Business & Finance
13 Mar 2026 • 2:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penasihat bebas IJM Corporation Bhd berkata tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd pada harga RM3.15 sesaham adalah tidak adil dan tidak munasabah.

PENASIHAT bebas IJM Corporation Bhd berkata tawaran pengambilalihan oleh Sunway Bhd pada harga RM3.15 sesaham adalah tidak adil dan tidak munasabah sekali gus mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IJM berkata penasihat yang dilantik, M&A Securities Sdn Bhd berkata, harga tawaran itu adalah pada diskaun antara RM2.69 hingga RM3.33, iaitu kira-kira 46.1 peratus hingga 51.4 peratus berbanding anggaran nilai saham IJM dalam lingkungan RM5.84 hingga RM6.48.

"Lembaga pengarah bersetuju dengan kesimpulan dan syor oleh M&A Securities bahawa tawaran itu adalah tidak adil dan tidak munasabah.

"Sehubungan itu, lembaga pengarah sebulat suara mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran berkenaan,” kata syarikat itu.

Tawaran itu akan terus dibuka untuk penerimaan sehingga 5 petang, 6 April 2026.

Pada 12 Januari, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham. - Bernama