Pencabar perlu setanding pencapaian saya: Maximus

Politics
17 Nov 2022 • 3:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KOTA MARUDU: Penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu selama empat penggal Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata beliau telah memberikan sumbangan besar kepada kawasan itu dan mengingatkan pencabarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) untuk berusaha lebih gigih untuk membuktikan kemampuan mereka.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu yang memulakan kariernya sebagai wakil rakyat setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Langkon pada 1994 berkata kerja keras beliau telah mentransformasi Kota Marudu seperti keadaannya pada hari ini.

“Harapan daripada pengundi pada masa ini amat tinggi. Sesiapa sahaja yang menawan (kerusi) ini daripada saya, ternyata perlu jauh lebih baik daripada saya.

“Pada akhirnya, hasrat saya adalah untuk membantu pemimpin baharu lain menjalankan tugas lebih baik berbanding apa yang telah saya dan pasukan laksanakan untuk Kota Marudu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ongkili yang mempertahankan kerusi Kota Marudu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, adalah tidak adil untuk menggambarkan Kota Marudu sebagai antara daerah termiskin di Malaysia.

“Rakyat di sini mempunyai kuasa beli sehingga kami berupaya menarik francais penting untuk melabur di sini. Untuk mengatakan di sini tidak ada pembangunan, saya boleh katakan bahawa Kota Marudu pada hari ini jauh berbeza berbanding ketika 1990-an,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata semua pembangunan itu tidak dilakukan tanpa perancangan, sebaliknya adalah hasil kerja keras dan perancangan sewajarnya.

Ongkili berkata beliau menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan kedudukannya di Kota Marudu.

“Pada kali ini (PRU15), ada kebimbangan bahawa saya telah terlalu lama di sini. Tetapi (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) 97 tahun; saya 69 tahun. Saya menawarkan diri berdasarkan pengundi saya, untuk berkhidmat kepada rakyat. Kami ikhlas sebagai perantara demi pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Mengenai kesihatannya, Ongkili menegaskan beliau disahkan sihat oleh doktor untuk bertanding pada PRU15.

Beliau akan menghadapi persaingan enam penjuru di Parlimen Kota Marudu menentang Datuk Jilid Kuminding (Warisan), Datuk Wetrom Bahanda (KDM), Mohd Azmi Zulkiflee (Pejuang), Shahrizal Denci (Muda) dan calon Bebas, Norman Tulang.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.